Tindakan luar kawalan seorang lelaki warga emas yang merosakkan sedozen mesin juruwang automatik (ATM) di sekitar kawasan Jinjang akhirnya membawa padah apabila dia ditahan pihak polis, kelmarin.
Kejadian yang berlaku berturut-turut dalam tempoh dua hari itu melibatkan tiga buah bank berbeza di kawasan Jinjang Selatan dan Jinjang Utara, mengakibatkan kerugian besar kepada pihak pengurusan bank.
Baca Juga:
- Pemandu Vellfire Dedah Kisah Sebenar Kenapa Dia Tendang Warga Emas

- Netizen Rata Rata Puas Hati Polis Di Hong Kong Denda Warga Emas RM1,063 Kerana Tidak Guna Jejantas

- Warga Emas Berjudi Guna RM600 Bantuan Bulanan Kerajaan, ‘Tikam’ Nombor Berdasarkan Mimpi

Kronologi Kejadian
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pihaknya mula menerima laporan pertama pada 16 Februari lalu.
Laporan Pertama: Seorang pengadu memaklumkan empat skrin mesin ATM di sebuah bank di Jinjang Selatan telah dipecahkan dengan anggaran kerugian RM4,000.
Laporan Susulan: Pada 17 Februari, polis menerima empat lagi laporan melibatkan dua buah bank di Jinjang Selatan dan dua lagi di Jinjang Utara.
Jumlah Kerugian: Kerosakan bagi fasa kedua ini dianggarkan mencecah RM60,000, menjadikan keseluruhan 12 mesin ATM rosak dikerjakan suspek.
Guna Batu Pecahkan Skrin
Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan suspek adalah sangat ringkas namun destruktif.
“Suspek dipercayai memasuki premis bank sebelum bertindak menghempas skrin mesin ATM menggunakan objek keras yang dipercayai seketul batu, dan kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, pihak polis mengesahkan bahawa motif serangan setakat ini hanyalah vandalisme semata-mata kerana tiada sebarang unsur cubaan merompak atau kehilangan wang tunai dilaporkan.
Hasil risikan dan siasatan lanjut membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 67 tahun di kawasan Sentul pada 18 Februari.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.