Empat pemain skuad kebangsaan Indonesia yang beraksi di Liga Eredivisie Belanda telah digantung berikutan isu melibatkan permit bekerja.

Menurut sumber laporan Seasia.Goal, pemain-pemain yang dimaksudkan ialah Dean James (Go Ahead Eagles), Justin Hubner (Fortuna Sittard), Nathan Tjoe-A-On (Willem II) dan Tim Geypens (FC Emmen).

Kesemua pemain ini akan terlepas perlawanan liga buat masa ini dan sehingga diberitahu kelak, sementara menunggu keputusan muktamad Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB).

Apa Yang Terjadi Kepada 4 Pemain Indonesia?

Bagaimanapun, masalah ini bukanlah berkaitan isu pemalsuan dokumen atau proses naturalisasi.

Sebaliknya, ia hanyalah isu pentadbiran atau permit kerja antara kelab dan KNVB, tanpa sebarang kesan terhadap kelayakan pasukan kebangsaan atau status FIFA, walaupun terdapat maklumat salah yang tersebar di beberapa media.

Ia juga berkaitan dengan proses penapisan dari pihak KNVB berhubung itu ‘dual nationality (kewarganegaraan dua hala)’ bagi memeriksa kelayakan berpuluh-puluh pemain kelahiran Belanda yang memilih untuk bermain untuk Suriname dan Indonesia.

Indonesia, seperti Belanda, tidak mengiktiraf kewarganegaraan dua hala dan mewajibkan warganegara baharu untuk melepaskan pasport lama mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Ini bermakna mereka bukan lagi warganegara EU dan perlu memenuhi kriteria yang lebih ketat untuk bermain di Eredivisie, seperti permit kerja dan gaji minimum €600,000 setahun.

Manakala, tiga lagi pemain iaitu Maarten Paes (Ajax Amsterdam), Mees Hilgers (FC Twente) dan Miliano Jonathans (Excelsior) tidak terjejas, kerana kelab mereka telah melengkapkan pendaftaran permit kerja bukan EU yang sah dan mengemas kini status kewarganegaraan Indonesia mereka.

Sumber