Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok Kelantan-Thailand terpakai kepada semua termasuk pelajar sekolah.
Menurut beliau, penahanan akan dibuat ke atas mana-mana pihak yang melanggar arahan dengan merentas sempadan secara salah, petik Buletin TV3.
“Isu penutupan pangkalan haram sudah lama dikuatkuasakan lebih setahun yang lalu dan sepatutnya semua sudah tahu serta maklum undang-undang berkenaan.
“Saya sudah maklum sebelum ini mana-mana yang mahu rentas sempadan perlu guna laluan sah iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk pelajar dan murid sekolah.
“Malah isu pelajar dari Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang juga sudah diputuskan dengan beberapa pilihan diberikan sebelum ini.
“Tiada lagi alasan untuk menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang,” jelas beliau.
Mereka yang ditahan merentas sempadan secara haram akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Berhubung tangkapan sekumpulan pelajar pagi semalam, keluarga pelajar sebenarnya sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah sebaliknya perlu menggunakan laluan sah.
“Justeru saya berharap selepas ini semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tindakan yang dilakukan ini bukan soal saya tegas, sebaliknya ini adalah undang-undang.
“Jika saya membenarkan kumpulan pelajar ini merentas sempadan secara haram, akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kumpulan ini untuk membawa bahan terlarang.
“Malah tindakan saya menutup laluan pangkalan haram termasuk kepada pelajar juga turut dipersetujui Kementerian Pendidikan. Mereka bersetuju dan tidak menghalang,” katanya.