Pada hari ini, di setiap sudut bandar pasti akan wujud kehadiran kedai ayam gepuk dek kerana populariti yang sedang hangat di dalam masyarakat.

Sampaikan peminatnya sanggup membelanjakan puluhan ringit semata-mata mahu menikmati pada setiap minggu.

Namun, bagi sesetengah individu pula berpendapat sebenarnya negara kita sudah dipenuhi dengan kedai ayam gepuk sehingga membenamkan juadah nasi tradisional tempatan yang lain di dalam pasaran.

'Ayam Gepuk Sudah Terlalu Banyak, Kembalikan Nasi Tomato, Nasi Kukus Ayam' - Warga Tempatan Mengadu
Sumber Gambar: Foodpanda

Bermula dari perkongsian seorang lelaki tempatan yang berkata “Sekarang ayam gepuk dah merata, tetapi saya sangat berharap rakyat Malaysia akan kembalikan klasik. Nasi tomato, nasi kukus ayam berempah dan nasi beriyani”.

Pendapatnya tentang nasi hujan panas yang kian dilupakan pula, menu ini dilihat hanya tersedia pada waktu tertentu seperti upacara perkahwinan, majlis doa makan, aqiqah yang mungkin berpunca dari tidak makan pada setiap hari dan kurang permintaan.

Menariknya, sejumlah netizen turut sebulat suara bersetuju dengan kenyataan lelaki tersebut dan menginginkan kelainan kerana sudah jemu dan merasakan seperti juadah tradisional kita telah terpinggir secara tidak langsung.

“Kannn dh macam terhad pulak nak cari masakan malaysiaaa mencikkkk”.

“Saya perlukan nasi kukus ayam !!! haritu teringin tapi bila keluar asyik nampak gepuk, kukus takde pulak terpampang”.

Ada yang mendakwa menu seperti nasi tomato, nasi kukus ayam sememangnya sukar untuk didapatkan pada ketika ini. Untuk menguatkan kenyataan bahawa ayam gepuk sudah menguasai pasaran tempatan,  menu ayam geprek atau ayam gepuk kini turut tersedia di dalam kedai kopitiam.

Selain itu, netizen turut mempersoalkan apa yang membuatkan menu tersebut sangat hangat walhal rasanya biasa sahaja dan sering dikaitkan dengan harga yang mahal.

“Tak faham hype ayam gepuk, geprek, penyet. Secara jujurnya, rasa dia mcm makanan biasa yg harga kayangan je. Nasi tomato, nasi ayam berempah, nasi beriyani lagi sedap. Bagi saya la,” menurut seorang netizen.

Tidak sekadar warga tempatan, bahkan seorang wanita dari Indonesia mempunyai hasrat yang sama untuk melihat lebih banyak kedai yang menawarkan masakan Malaysia seperti nasi kerabu, nasi ganja dalam memperkenalkan tradisi tempatan yang kaya dengan pelbagai juadah yang sedap.