Gara-gara meminta untuk dibelikan hidangan ayam gepuk, seorang suri rumah di Cheras mendakwa telah dicekik, ditampar, dan diugut dengan sebilah pisau oleh suaminya dalam satu kejadian keganasan rumah tangga yang menyayat hati.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 33 tahun itu berhubung insiden yang berlaku di sebuah flat di Sri Sabah, Cheras, pada Rabu (11 Mac), petik The Star.

Baca Juga:

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (16 Mac), kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang.

“Mangsa telah meminta suaminya membelikan ayam gepuk kerana teringin untuk memakan hidangan tersebut. Walau bagaimanapun, permintaan itu didakwa telah mencetuskan pertengkaran selepas suspek bertindak memarahi dan menghina mangsa, serta menyuruhnya memasak sendiri,” jelas ACP Mohd Rosdi.

Pertelingkahan tersebut dilaporkan melarat sehingga suspek bertindak luar kawalan terhadap isterinya. Berdasarkan aduan pengadu, suspek didakwa melakukan kekasaran dengan mencekik leher, serta menampar serta menumbuk bahagian kepala mangsa.

Kemudian suspek mengacu pisau dapur ke leher mangsa semasa pertengkaran memuncak.

Akibat daripada serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher. Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, sebelum tampil membuat laporan polis.

ACP Mohd Rosdi menambah bahawa kes berkenaan kini sedang disiasat dan pihak polis telah merujuk perkara tersebut kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sumber