Pelakon popular Indonesia, Asmara Abigail, mengakui hidangan ayam gepuk yang dijual di Malaysia terasa lebih sedap berbanding di negara asalnya sendiri.
Asmara, 34, yang kini menetap di Malaysia selama dua bulan bagi melunaskan penggambaran filem, menyifatkan negara ini sudah seperti rumah keduanya.
“Biarpun ayam gepuk adalah makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi Malaysia menghasilkan ayam gepuk yang lebih sedap,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Peluru Senja baru-baru ini, petik Kosmo.
Selain menggemari kulinari tempatan, pelakon filem Pengabdi Setan ini turut memuji kemudahan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam di ibu negara yang disifatkannya amat mesra pengguna.
“Kuala Lumpur sangat meriah dan hidup. Saya sukakan pemandangan di sini. Saya boleh berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam dengan mudah di sini.
“Sebagai seorang yang datang dari Jakarta, hal-hal sebegini yang membuatkan saya berharap agar kerajaan kami melakukan perkara yang sama untuk negara kami. Saya sayang Malaysia,” jelasnya.