Ayam gepuk sememangnya antara menu yang cukup popular di Malaysia, terutama dalam kalangan pelajar dan golongan muda.
Namun, satu hantaran di Threads baru-baru ini mengingatkan bahawa satu pinggan ayam gepuk berpotensi mengandungi lebih 1,000 kalori, bergantung kepada saiz hidangan dan cara ia disediakan.
Menurut perkongsian akaun dengan nama Justafreshgrad, anggaran kalori untuk satu hidangan ayam gepuk boleh berada sekitar 950 hingga 1,350 kalori.
Nasi sahaja dianggarkan mengandungi sekitar 250 hingga 350 kalori, manakala ayam goreng pula sekitar 350 hingga 500 kalori.
Sambal boleh menyumbang kira-kira 150 hingga 300 kalori, sementara kobis goreng pula dianggarkan sekitar 200 kalori.
Jumlah tersebut masih belum mengambil kira minuman manis, nasi tambahan, tempe atau tauhu yang biasanya turut menjadi pilihan ketika menikmati ayam gepuk.

Perbandingan dengan makanan popular lain
Perkongsian itu turut membandingkan ayam gepuk dengan beberapa pilihan makanan lain berdasarkan anggaran harga dan kalori.
Ayam gepuk sekitar RM10 hingga RM15 dianggarkan mengandungi 950 hingga 1,350 kalori.
Nasi campur pula sekitar RM8 hingga RM10 dengan anggaran 500 hingga 800 kalori, manakala nasi kerabu sekitar RM8 hingga RM12 dengan 500 hingga 800 kalori.
Nasi kandar pula dianggarkan sekitar RM10 hingga RM15 dengan 600 hingga 900 kalori.

Bagaimanapun, angka berkenaan hanyalah anggaran. Jumlah kalori sebenar boleh berubah dengan ketara bergantung kepada saiz nasi, bahagian ayam, jumlah minyak, sambal, kuah dan bahan-bahan lain yang digunakan.
Ini tidak bermaksud orang ramai perlu berhenti makan ayam gepuk.
Sebaliknya, setiap orang harus tahu akan pilihan makanan dan sedar kandungan kalori yang diambil.
Ini termasuk mengawal jumlah nasi, memilih lauk yang sesuai dan mengurangkan tambahan yang tidak diperlukan.
Dalam keadaan harga makanan yang semakin menjadi pertimbangan, pilihan makanan bukan sahaja boleh dilihat dari sudut harga, tetapi juga jumlah makanan dan kandungan kalori yang diperoleh.
Public Health Malaysia turut mencadangkan agar kita mengambil nasi ayam gepuk yang lebih ringan
-
- – Kurangkan nasi kepada ½–¾ portion biasa.
- – Pilih ayam yang kurang tepung atau buang sedikit kulit.
- – Ambil sambal secukup rasa, bukan sampai nasi berenang minyak.
- – Tambah timun, ulam atau sayur.
- – Dan paling mudah, tukar air manis kepada air kosong.
Public Health Malaysia menambah: “Dengan beberapa perubahan kecil, kita masih boleh menikmati makanan yang kita suka tanpa menjadikannya “cheat meal” setiap kali.

“Makan ayam gepuk sekali-sekala bukan masalah.
“Yang lebih penting ialah portion, frequency dan apa yang kita makan sepanjang minggu.
Rumusannya, ayam gepuk masih boleh dinikmati. Cuma kalau kerap makan, mungkin elok juga perhatikan saiz hidangan dan apa yang kita tambah dalam satu pinggan.
Yang paling penting, sihat itu seksi!