1.1K Gaya hidup
October 30, 2026 - 6:25 PM

Bagi kebanyakan orang, perkataan diet sering kali dikaitkan dengan rasa terseksa, terpaksa berlapar, meninggalkan terus nasi, atau bergantung kepada suplemen penurun berat badan yang tidak diketahui keberkesanannya.

Hakikatnya, perjalanan ke arah gaya hidup sihat tidak semestinya menyeksakan jika dilakukan dengan ilmu dan pemikiran yang betul.

Perkara ini dibuktikan sendiri oleh seorang pengguna laman Threads, Umi Zulaikha Idris (@jieun_ika), yang berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 16 kilogram, iaitu daripada 64 kilogram kepada 48 kilogram tanpa meninggalkan nasi mahupun mengambil sebarang suplemen kurus.

Kurus 16 Kilogram Tanpa Tinggalkan Nasi, Wanita Ini Kongsi Tip Realistik Turun Berat Badan
Sumber Gambar: Threads

Menerusi perkongsian yang menarik perhatian ramai itu, beliau membawakan prinsip berdiet dengan cara yang tenang dan berpanjangan menerusi moto ringkasnya, iaitu jom kurus dengan cinta, bukan derita.

Berikut merupakan langkah dan pendekatan realistik yang diamalkan oleh beliau sepanjang proses penurunan berat badan tersebut.

Kurangkan pengambilan Nasi, Bukan Tinggalkan Terus

Pendekatan pertama yang dikongsikan oleh Umi Zulaikha menyentuh mengenai tabiat pengambilan nasi harian.

Jika dahulu beliau mengambil nasi sebanyak dua hingga tiga kali sehari dengan porsi yang agak banyak, fasa penurunan berat badan menuntut sedikit perubahan rutin.

Beliau mengubah corak pemakanannya kepada satu kali sehari sahaja untuk pengambilan nasi, di samping mengurangkan porsinya serta melebihkan lauk protein dan sayur-sayuran.

“Ingat jangan potong terus nasi,” pesannya ringkas bagi mengingatkan orang ramai bahawa karbohidrat tetap diperlukan oleh tubuh dan tidak wajar disingkirkan sepenuhnya.

Utamakan Sumber Protein dan Serat Setiap Hari

Kurus 16 Kilogram Tanpa Tinggalkan Nasi, Wanita Ini Kongsi Tip Realistik Turun Berat Badan
Sumber Gambar: Threads

Fokus seterusnya ialah memastikan keperluan protein dan serat harian sentiasa mencukupi. Umi Zulaikha menjelaskan bahawa apabila tubuh mendapat bekalan protein yang cukup, rasa kenyang akan bertahan lebih lama sekali gus mengurangkan keinginan untuk kerap mengunyah makanan ringan.

Pilihan utama beliau adalah berteraskan sumber makanan sebenar atau real food seperti telur, ayam, ikan, dan pelbagai jenis sayuran. Sekiranya pengambilan protein daripada makanan harian masih belum mencukupi sasaran, barulah beliau menambahnya dengan minuman protein shake.

“Korang jangan fokus makan sikit saja tahu. Pastikan badan dapat nutrisi yang cukup,” kongsi beliau yang menegaskan bahawa diet bukan bermaksud menyekat zat yang diperlukan badan.

Kawal Minuman Manis dan Gantikan Keinginan Makanan Manis

Kurus 16 Kilogram Tanpa Tinggalkan Nasi, Wanita Ini Kongsi Tip Realistik Turun Berat Badan
Sumber Gambar: Threads

Menghentikan terus tabiat meminum air manis secara mendadak bukanlah perkara mudah buat kebanyakan individu.

Mengakui dirinya juga manusia biasa yang mempunyai keinginan terhadap makanan manis, Umi Zulaikha memilih pendekatan kawalan berbanding menghentikannya secara total.

Pada hari biasa, beliau mengutamakan air kosong. Sekiranya benar-benar teringin minuman bergula, beliau hanya memesan minuman kurang manis sekitar dua hingga tiga kali sahaja dalam sebulan.

Bagi mengawal keinginan terhadap makanan manis setiap hari, beliau mengamalkan pengambilan buah bersama yogurt Greek, dengan buah naga menjadi pilihan hariannya.

Gabungan Senaman Bebanan dan Brisk Walk Tiga Kali Seminggu

Untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih tegap dan bertenaga, Umi Zulaikha memperuntukkan masa untuk bersenam sebanyak tiga kali seminggu.

Beliau menggabungkan senaman latihan bebanan bersama aktiviti berjalan pantas atau brisk walk.

Rutin tersebut dimulakan di gimnasium sebelum diteruskan dengan senaman di rumah.

Apabila ditanya oleh seorang pengguna media sosial mengenai berat badan yang meningkat apabila melakukan latihan kekuatan walaupun pakaian terasa lebih longgar, Umi Zulaikha yang memiliki ketinggian 159 sentimeter menjelaskan situasi berkenaan.

“Latihan kekuatan akan membuatkan otot awak naik, dan bila otot naik, itu yang membuatkan berat naik sedikit. Cuma awak ada buat ukur lilit tak? Ada tak rasa baju longgar, seluar longgar?” jelas beliau mengenai perbezaan antara pertambahan jisim otot dan penurunan lemak badan.

Menjaga Kualiti Tidur dan Kesihatan Tubuh

Faktor rehat sering kali diabaikan dalam misi menurunkan berat badan, sedangkan ia memainkan peranan besar terhadap kawalan selera makan.

Umi Zulaikha menceritakan bahawa beliau sebelum ini sering berdepan kesukaran untuk tidur. Kesannya, badan berasa cepat penat dan nafsu makan menjadi sukar untuk dikawal.

Atas saranan doktor, beliau mula mengambil suplemen magnesium yang banyak membantunya mendapatkan tidur yang lebih lena.

Beliau kini membiasakan diri untuk tidur sekurang-kurangnya tujuh jam sehari demi memulihkan tenaga serta mengekalkan metabolisme yang optimum.

Konsistensi, Keseimbangan dan Realiti Pengurangan Berat Badan

Menjawab pandangan warga maya berkaitan penggunaan produk tertentu di pasaran, Umi Zulaikha menegaskan bahawa suplemen atau alatan senaman hanyalah sokongan tambahan.

Penurunan berat badan sebanyak 16 kilogram yang dicapainya adalah hasil konsistensi menjaga pemakanan dan senaman yang berterusan.

“Kalau ambil produk tapi masih tak jaga makan, tak bersenam, berat tetap tak akan turun,” jelasnya menjawab komen pengikut.

Malah, beliau turut berkongsi bahawa menikmati cheat day sekali-sekala bukanlah satu kesalahan besar. Menikmati hidangan kegemaran tanpa rasa bersalah boleh dilakukan kerana ia bukan rutin harian.

Pendekatan santai namun berdisiplin ini membuktikan bahawa gaya hidup sihat boleh dicapai tanpa perlu menyeksa diri, asalkan kita konsisten dan memahami keperluan badan sendiri.

Dalam pada itu, orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen serta mendapatkan pelbagai perkongsian berkaitan gaya hidup sihat menerusi The Vocket dan tanda pagar #SihatItuSeksi di platform media sosial The Vocket.

TikTok: The Vocket di TikTok
Facebook: The Vocket di Facebook
YouTube: The Vocket di YouTube
Threads: The Vocket di Threads