Khairul Aming sekali lagi menarik perhatian ramai menerusi hantaran terbaharu beliau di Threads.
Beliau memuat naik gambar perubahan fizikalnya selepas berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 25kg sambil memberi kata-kata semangat kepada pengikutnya.
“Anyone yang tengah dalam weightloss journey, teruskan jangan give up,” tulisnya ringkas di Threads.
Ruangan Komen Bertukar Jadi Perhimpunan Kejayaan
Hantaran itu bukan sahaja mendapat lebih puluhan ribu tanda suka, malah ruangan komen bertukar menjadi pentas perkongsian kejayaan orang ramai.
Ramai pengguna mengambil peluang ini untuk menayangkan hasil titik peluh masing-masing sebagai bukti.

Antaranya pengguna bernama Farhan yang berkongsi penurunan berat badan daripada 155.6kg kepada 127kg. Ainul pula berkongsi kegembiraan berjaya mengurangkan 27kg, iaitu daripada 85kg kepada 58kg.
Tidak ketinggalan pengguna bernama Qeesha yang kini berjaya mengekalkan berat 65kg selepas turun daripada 90kg.

“Masa 90kg dulu rasa struggle sangat, sekarang just maintain je berat. Fighting untuk siapa yang tengah berjuang!” katanya memberi semangat. Ahnaf pula turut menyertai ruang itu dengan menyatakan penurunannya daripada 110kg kepada 88kg.
Jadikan Kesibukan Bukan Lagi Alasan
Melihat figura sibuk seperti Khairul Aming mampu membahagikan masa untuk bersenam memberi tamparan emosi kepada ramai pihak.
Pengguna bernama Iskandar menyatakan bahawa jika pempengaruh yang sangat sibuk itu boleh konsisten turun 18kg dalam masa sembilan bulan hingga setahun, tiada alasan untuk orang lain tidak mencubanya.
Malah, ada juga yang mula melangkah ke gimnasium dan mengambil jurulatih peribadi gara-gara terinspirasi daripada hantaran berkenaan.
“Saya pun dah mula latihan bebanan. Berkat baca post pasal PT tu, akhirnya tergerak nak ambil jurulatih peribadi juga,” kata Nisa di ruangan komen.
Fenomena ini membuktikan bahawa pengaruh positif yang dibawakan oleh figura terkenal mampu membakar semangat masyarakat untuk sama-sama berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat.