Sehingga ke hari ini, orang ramai masih berlumba-lumba mahu mendapatkan slot tempahan rembayung kerana mahu menjadi yang terawal merasai makanan di restoran pertama milik Khairul Amin.
Bagaiamanapun, sambutan yang terlampau hebat, sistem tempahan untuk Rembayung mengalami kesukaran menampung trafik semasa sehingga mendorong kepada isu down.
Susulan itu, timbullah luahan kekecewaan dari individu yang masih gagal mendapatkan slot dan menyoal tindakan pihak KA dalam menyelesaikan isu tersebut.
Dia turut menyusul KA untuk melantik CTO (Chief Technology Officer) seperti Ketua Jurutera atau Pakar Alatan di restoran tersebut untuk memastikan proses tempahan berjalan lancar.
“Hai @khairulaming. Tolonglah ambil seorang CTO. Sekarang ni sistem tempahan ke restoran awak tengah down. Saya dah cuba ping tapi tak ada respon. Portal tempahan Umai sebenarnya okey sebab restoran lain tak ada masalah pun nak booking. Cuma Rembayung je yang tak ada dalam senarai.”
Antara yang ditanya termasuklah tentang meletakkan sumber untuk tempahan di sistem awan khas, apa usaha pihak Umai dałam menyelesaikan isu tersebut serta ada sebarang penalti jika berlaku isu down sedemikian.
Persoalan ini langsung mendapat perhatian tuan badan sendiri dan sedia memberikan penjelasan dari pihaknya dan sebab menggunakan perkhidmatan Umai untuk tempahan di Rembayung.
“Saya buka kedai makan je bang, saya mohon jangan letak expectation macam saya nak buat konsert kat Bukit Jalil.
“Dalam kedai kita boleh menguruskan 200 orang je maksimum dalam satu masa, tapi yang nak tempah ada 50,000 orang tak termasuk 7-8 orangg family atau kawan yang setiap orang nak bawa,” jawabnya berhubung kuantiti tempahan yang diterima.
Alasan KA masih menggunakan platform Umai adalah disebabkan ia satu-satunya pilihan terbaik untuk menguruskan tempahan meja dalam talian di Malaysia.
Bagaimanapun, bila pilihan terbaik pun tidak dapat menampung jumlah sambutan yang begitu meriah, maka pihaknya tidak boleh menyelesaikan isu kritikal ini sekelip mata.
“Kedai baru buka 2 minggu bang. tolonglah bagi saya sedikit ruang,” ujarnya.

Respon KA itu sememangnya mendapat pujian ramai kerana dapat menerangkan situasi sebenar dalam masa sama timbul perasaan kasihan terhadap pelbagai isu remeh yang dibangkitkan sehingga mengganggu urusan perniagaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, kami sempat melayari laman tempahan Rembayung, kini terdapat perubahan yang mana sudah tidak lagi dipaparkan durasi menunggu seperti sebelum ini.
Hal ini mungkin disebabkan mahu mengelakkan lagi isu tempoh durasi yang bertambah sewaktu menunggu yang pernah diutarakan oleh netizen.
Jadi, kini orang ramai hanya boleh mengakses berdasarkan nasib masing-masing tanpa perlu berharap dengan menunggu sepanjang hari dan menyalahkan sistem jika masa bertambah secara automatik oleh sistem.