Restoran popular Rembayung kini dalam proses fasa percubaan bagi beralih kepada sistem tempahan yang baharu, sekali gus menggantikan perkhidmatan platform Umai yang digunakan sebelum ini.
Langkah ini diambil sebagai usaha berterusan pihak pengurusan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi masalah yang kerap berbangkit.
Menurut pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, pertukaran sistem ini dilakukan secara berperingkat dan masih berada di peringkat ujian awal. Sehubungan dengan peralihan ini, beberapa maklumat penting telah dimaklumkan untuk perhatian para pelanggan:
Status Tempahan Sedia Ada: Semua tempahan bagi makan di restoran (dine-in) dan bungkus (takeaway) yang telah atau akan dibuat menerusi platform Umai sehingga 4 Oktober adalah kekal sah dan tidak dibatalkan.
Penutupan Sementara Tempahan Baharu: Tempahan bagi tarikh 5 Oktober dan ke atas ditutup buat sementara waktu sehingga sistem baharu diperkenalkan secara rasmi.
View on Threads
Pihak pengurusan berharap agar peralihan ke sistem baharu ini dapat berjalan secara lancar serta berkesan, terutamanya dalam menangani isu ulat tiket atau ‘scalpers’ yang sering mengambil kesempatan atas tempahan meja restoran tersebut.
“Ini masih di peringkat percubaan. Doakan sistem yang baharu ini dapat mengurangkan isu scalpers. Terima kasih semua,” kongsi Khairul Aming menerusi hantaran Threads.