Fenomena scalper atau ulat tiket kini bukan lagi isu konsert muzik semata-mata, sebaliknya telah merebak ke industri perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) tempatan.
Isu ini menjadi hangat apabila cawangan restoran baharu usahawan terkenal, Khairul Aming, iaitu Rembayung, menjadi sasaran scalper yang mengambil kesempatan menjual semula tempahan meja pada harga tak masuk akal.
Melalui satu hantaran di laman Threads, Khairul Aming meluahkan rasa buntu dan memohon maaf atas situasi sukar yang dihadapinya.
“Dari dulu saya tanya apa solusi yang ada tapi tiada yang boleh memberi cadangan solusi untuk kawal 15,000,000 followers untuk kedai makan yang cuma muat 200 org dalam satu masa.
“Ada yg suruh letak nombor IC kat tempahan — Tapi bagaimana menghalang scalper daripada mengambil nombor kad pengenalan pembeli terlebih dahulu dan memasukkannya kemudian? Isunya tetap sama — Saya mohon maaf kepada orang ramai yang frust tapi saya pun stuck.
“Tak ada restoran dalam malaysia ada isu sebegini dan saya tidak mempunyai siapa-siapa untuk menjadi rujukan. Saya mohon bagi saya ruang untuk cari solusi,” luah Khairul Aming.
View on Threads
Menerusi ruang balas hantaran Threads tersebut, warganet berkongsi beberapa solusi yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk mengatasi isu scalper tersebut. Antaranya adalah:
1. Slot tempahan wajar dibuka sebulan lebih awal dengan mengenakan kadar deposit yang tinggi bagi setiap pelanggan, selain mewajibkan pendaftaran menggunakan Kad Pengenalan dan nombor telefon bagi setiap transaksi. Langkah ini diperketat melalui pengesahan kod OTP serta penetapan syarat bahawa tempahan tidak boleh dipindah milik (non-transferable),
2. Tempahan wajar diwajibkan melalui akaun yang disahkan identitinya menggunakan sistem eKYC oleh pihak ketiga bertauliah (patuh Akta PDPA) bagi memastikan setiap individu terhad kepada satu akaun, satu Kad Pengenalan, dan satu nombor telefon sahaja.
3. Sistem tempahan sedia ada boleh diperketat dengan mewajibkan penama berdaftar mengesahkan kehadiran secara fizikal melalui kod OTP yang dihantar ke nombor telefon mereka setibanya di restoran bagi memastikan identiti pembeli asal. Melalui konsep ini, nama pada tempahan sama sekali tidak boleh ditukar dan wang deposit akan ‘hangus’ sekiranya pelanggan gagal hadir— umpama polisi tiket penerbangan.
4. Sistem tempahan first come, first serve perlu diubah kepada kaedah undian (ballot) dengan membuka tempoh permohonan selama tiga hari yang disahkan melalui kod OTP bagi setiap nombor telefon, diikuti pemilihan pemenang secara rawak yang perlu mengesahkan kehadiran dalam tempoh 12 jam berserta deposit RM10 seorang. Apabila faktor kepantasan tidak lagi memberi kelebihan, bot kehilangan fungsinya dan scalper tidak dapat menyimpan stok tempahan untuk dijual semula.
Dalam pada itu, sebahagian warganet menegaskan kewujudan scalper bukanlah disebabkan satu pihak sahaja, sebaliknya ianya terjadi apabila terdapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang berani mengambil risiko untuk membeli semula tempahan daripada scalper walaupun harganya melabung tinggi berlipat kali ganda.