Berita penutupan salah satu cawangan kedai ayam gepuk terkenal telah menarik perhatian para peminatnya dan netizen.

Sehubungan itu Ayam Gepuk Artisan tampil memberi pencerahan berhubung isu berkenaan.

Menerusi hantaran media sosial, pihaknya mengambil maklum tentang isu yang sedang tular berkaitan kebersihan salah satu premis.

“Assalamualaikum & Salam Sejahtera semua. Kami di Ayam Gepuk Artisan mengambil maklum tentang isu yang sedang tular berkaitan kebersihan salah satu premis kami baru-baru ini

“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf atas segala kerisauan dan ketidakselesaan yang timbul. Kami memahami kepercayaan pelanggan adalah perkara paling penting dalam membina sesebuah jenama, dan kami tidak mengambil perkara ini secara ringan,” katanya.

Tindakan Segera Atasi Isu

Pihak Ayam Gepuk Artisan telah mengambil tindakan segera terhadap premis terlibat. Pada masa sama proses audit kebersihan dalaman sedang dijalankan di semua cawangan jenama berkenaan.

Tambahnya lagi, kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan setiap outlet mematuhi standard kebersihan dan operasi yang ditetapkan. Penambahbaikan SOP operasi, latihan staf, serta pemantauan berkala sedang diperkukuhkan bermula serta-merta.

“Ayam Gepuk Artisan dibina hasil sokongan pelanggan sejak hari pertama. Kami percaya sebuah jenama bukan dinilai ketika tiada masalah, tetapi bagaimana kami bertanggungjawab dan memperbaiki keadaan apabila diuji.

“Kami menghargai setiap teguran, pandangan dan kritikan yang diberikan. InsyaAllah kami akan gunakan perkara ini sebagai turning point untuk menjadi lebih baik, lebih tersusun dan lebih kuat sebagai sebuah jenama.

“Kepada semua pelanggan yang masih menyokong kami — terima kasih kerana terus memberi peluang dan kepercayaan. Kami akan buktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.”

Seluruh Pasukan Ibu Pejabat Turun Padang

Memetik hantaran Ayam Gepuk Artisan lagi, pihaknya terima maklum balas daripada orang ramai dengan hati terbuka.

“Apa yang kami boleh janjikan, kami tidak akan berdiam diri atau anggap perkara ini kecil. Kami memilih untuk bertanggungjawab, memperbaiki dan bergerak ke depan dengan lebih baik.

“Bagi kami, satu kesilapan tidak boleh dibiarkan menjadi budaya.

 

View on Threads

 

“Sebab itu seluruh team HQ kini sedang turun padang untuk memastikan setiap cawangan berada pada standard yang sepatutnya — bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk jangka masa panjang.

“Kami percaya reputasi tidak dibina dalam sehari. Dan kami juga tahu kepercayaan pelanggan perlu diperoleh semula melalui konsistensi, bukan sekadar penjelasan di media sosial.

“InsyaAllah, kami akan jadikan perkara ini sebagai turning point untuk Ayam Gepuk Artisan menjadi jenama yang lebih matang, lebih tersusun dan lebih kuat pada masa akan datang. Terima kasih kerana masih memberi ruang untuk kami memperbaiki keadaan,” jelasnya.