Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar menyatakaan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kedai makan ayam gepuk terbakar di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, pada 7.54 malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi dengan turut dibantu BBP Semenyih dan BBP Seri Kembangan, petik Buletin TV3.
“Kejadian membabitkan sebuah kedai bangunan dua tingkat kelas A dengan kebakaran berlaku di aras bawah premis berkenaan yang terbakar 70 peratus,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Pemilik Kedai Ayam Gepuk Tok Mat Mohon Maaf Atas Kejadian
Pemilik rangkaian Ayam Gepuk Tok Mat, Mohd Irqim Mohamad, menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius yang dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
Beliau turut menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas segala kesulitan yang timbul.
View on Threads
“Saya, selaku pemilik rangkaian Ayam Gepuk Tok Mat (AGTM), dengan penuh keinsafan menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua pihak yang terlibat dengan insiden di cawangan kami di Bangi.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada pihak BOMBA dan orang awam atas tindakan pantas dan efisien yang berjaya mengawal keadaan sekali gus mengelakkan kemalangan jiwa daripada berlaku,” ujar Mohd Irqim.
Tambah beliau lagi, mana-mana pelanggan atau individu yang terkesan secara langsung atau tercedera akibat insiden ini, pihak pengurusan AGTM meminta mereka untuk segera menghubungi pihak pengurusan melalui e-mel rasmi di [email protected] untuk tindakan susulan dan bantuan segera.
Solidariti Daripada Ayam Gepuk Top Global
Dalam pada itu, pihak Ayam Gepuk Top Global (AGTP) turut mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas musibah yang menimpa rakan perniagaan mereka.
“Kami ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada seluruh warga Ayam Gepuk Tokmat atas musibah kebakaran yang menimpa premis mereka.
“Semoga semua urusan dipermudahkan, diberikan kekuatan, dan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,” jelas wakil AGTG dalam satu hantaran Threads.
Pihak AGTG turut memohon maaf kepada para pelanggan setia mereka di cawangan Bangi atas segala gangguan operasi ini dan amat menghargai kesabaran serta sokongan padu yang diberikan oleh orang ramai sepanjang tempoh sukar ini.
Sebarang perkembangan terbaru mengenai operasi semula cawangan Bangi akan dikemas kini dari masa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi mereka.