Sensasi larian pecut Australia, Gout Gout, telah meleburkan rekod dunia 200 meter bawah 20 tahun (B-20) dengan pencapaian yang menakjubkan iaitu 19.67 saat di Kejohanan Olahraga Australia, Sydney.

Atlet dari Queensland yang berusia 18 tahun itu berjaya memecahkan rekod B-20 Usain Bolt yang telah bertahan lama sejak tahun 2004 (19.93 saat) pada hari Ahad, 12 April yang lalu. Pada masa yang sama, beliau turut melakar rekod baharu kebangsaan senior Australia.

Semasa beraksi di Sydney Olympic Park dengan bantuan angin yang dibenarkan (1.7 meter sesaat), Gout buat julung kalinya berjaya merekodkan masa rasmi di bawah 20 saat. Lebih hebat lagi, catatan masa itu meletakkan dia di ranking nombor satu dunia bagi tahun 2026 setakat ini

Sebagai perbandingan, catatan masa ini sudah cukup untuk melayakkan beliau memenangi pingat gangsa bagi acara 200m di Sukan Olimpik Paris.

Siapa Gout Gout?

Nama Saja Gout, Remaja Sensasi Ini Leburkan Rekod Usain Bolt 200m Pada Usia 18 Tahun
Sumber Gambar: Olympics

Dilahirkan pada 29 Disember 2007 di Ipswich kepada ibu bapa dari komuniti Dinka Sudan Selatan yang menetap di Australia pada tahun 2006, Gout merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik.

Keluarganya mempunyai latar belakang sukan yang kukuh; ibunya merupakan seorang pelari ketika di bangku sekolah, manakala seorang kakaknya bertanding secara kompetitif dalam acara lari berpagar. Malah, salah seorang adik lelakinya turut mendakwa mampu menewaskan kepantasannya di trek.

Gout memulakan langkah dalam sukan bola sepak kompetitif sebelum beralih kepada sukan olahraga pada awal usia remajanya, di mana beliau mula melakar impak dengan pantas.

Menjelang usia 15 tahun, beliau berjaya membolot kejuaraan bagi acara 100 meter dan 200 meter di kejohanan remaja Australia. Semasa berusia 16 tahun pada tahun 2024, beliau merekodkan masa 20.04 saat bagi acara 200 meter, sekaligus mencatatkan masa terbaik di dunia bagi kumpulan umurnya pada masa tersebut.

Pada tahun yang sama, beliau telah berjaya merangkul pingat perak di Kejohanan Olahraga Bawah-20 (B-20) Dunia di Lima.

Kini dengan ketinggian 1.83 meter dan berlatih di bawah bimbingan Di Sheppard bersama Kelab Olahraga Tigers di Brisbane, Gout telah menyamai rekod masa sah tempatan terpantas Australia bagi acara 100 meter dengan catatan 10.00 saat di Brisbane pada bulan Februari.

Latar belakang warisan Sudan Selatannya telah memperkayakan naratif kepelbagaian yang kini memacu kebangkitan semula arena lari pecut di Australia. Beliau telah mempamerkan siri pencapaian larian pecut yang amat memberangsangkan sepanjang 12 bulan yang lalu walaupun masih bergelar remaja.

Rekod tersebut tercipta dalam aksi final acara 200 meter lelaki di kejohanan kebangsaan. Gout mempamerkan dominasinya bermula dari selekoh larian, sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 19.67 saat diiringi sorakan gemuruh penonton.

Aidan Murphy meraih pingat perak dengan catatan 19.88 saat, sekaligus berjaya merekodkan masa di bawah 20 saat untuk kali pertama.

Pencapaian ini bukan sahaja memecahkan rekod masa terbaik remaja milik Bolt, malah meletakkan Gout di kedudukan ke-16 dalam senarai atlet senior terpantas sepanjang zaman.

Setakat ini, hanya 15 orang atlet sahaja yang pernah mencatatkan larian lebih pantas pada mana-mana peringkat umur. Badan Olahraga Dunia (World Athletics) dijangka akan mengesahkan secara rasmi rekod baharu bawah-20 tahun ini.

@worldathletics

Gout-RAGEOUS INDEED ‼️ Gout Gout, at only 18 years old, storms into the all-time top 20 list over 200m with a 19.67 world u20 record 💣 📹 @Australian Athletics

♬ original sound – WorldAthletics

Larian cemerlang tersebut turut meleburkan rekod kejohanan sedia ada. “Inilah detik yang telah saya nantikan,” kata Gout sebaik sahaja perlumbaan tamat.

Lulusan terbaharu sekolah Ipswich Grammar itu mengkreditkan sokongan padu daripada penonton tuan rumah yang banyak membantunya mempamerkan aksi cemerlang walaupun berada di bawah tekanan.

“Kita mempunyai barisan atlet yang luar biasa di Australia. Peluang untuk berlumba dengan mereka membolehkan kami mendorong potensi diri masing-masing ke tahap maksimum. Dua atlet Australia berjaya mencatatkan masa di bawah 20 saat. Ia benar-benar menakjubkan.”

“Satu bebanan besar telah terlepas dari bahu saya apabila mengetahui rekod larian tersebut adalah sah, dan saya sedar saya memiliki kelajuan serta kemampuan fizikal untuk mencatatkan masa sedemikian. Oleh itu, ia pastinya memberikan satu perasaan yang hebat, dan saya kini bersedia untuk mencipta lebih banyak kejayaan.”

Sungguhpun profil dan popularitinya semakin melonjak naik, Gout telah menyatakan keputusannya untuk tidak menyertai temasya Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula pada 23 Julai depan.

Sebaliknya, beliau akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Olahraga Bawah-20 Dunia di Oregon pada awal bulan Ogos.

Sumber