Kecederaan dialami memaksa juara dunia dan Sukan Olimpik dua kali, Viktor Axelsen mengumumkan persaraannya daripada kancah badminton antarabangsa pada usia 32 tahun.

Pemain kelahiran Denmark itu mengesahkan keputusan tersebut menerusi kenyataan rasmi di laman Instagram peribadinya, sekali gus menutup satu era gemilang dalam sukan badminton moden.

Sepanjang kariernya, Axelsen dikenali sebagai antara pemain paling konsisten dan berdisiplin dalam sejarah badminton.

Beliau pernah menjulang pingat emas Olimpik 2020 dan 2024 serta muncul juara dunia edisi 2017 serta 2022, selain mengumpul pelbagai gelaran dalam kejohanan utama termasuk deretan kejuaraan dalam Jelajah Dunia BWF.

Gaya permainan yang agresif, fizikal yang mantap serta kekuatan mental menjadikan beliau sukar digugat oleh mana-mana lawan.

Walaupun bersara daripada saingan profesional, Axelsen dijangka terus kekal aktif dalam arena badminton sama ada sebagai mentor, jurulatih atau terlibat dalam pembangunan sukan tersebut.

Kecederaan Membelenggu Karier Axelsen

“Seperti yang ramai orang tahu, saya sudah lama bergelut dengan masalah belakang. Selepas saya menjalani pembedahan pada April tahun lalu dan melalui proses pemulihan yang panjang, tetapi malangnya pemulihan saya terganggu pada Oktober.”

“Sejak kejohanan tersebut [Terbuka Denmark], saya tidak lagi mampu bermain atau berlatih pada tahap yang diperlukan. Saya tidak dapat bermain atau berlatih kerana kesakitan, dan itulah sebabnya saya terpaksa membuat keputusan yang sangat sukar ini.”

Beliau turut menjelaskan bagaimana masalah berulang serta risiko untuk menjalani pembedahan sekali lagi akhirnya membawa kepada keputusan tersebut:

“Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan pakar bedah yang menjalankan pembedahan saya tahun lalu, serta doktor-doktor yang telah merawat saya.”

“Mereka mengatakan dengan kesakitan yang saya alami sekarang, ia mungkin memerlukan satu lagi pembedahan, dan jika itu tidak berjalan lancar, mungkin perlu prosedur yang lebih serius.”

“Dalam apa jua keadaan, ia bermakna saya tidak lagi mampu bersaing pada tahap yang diperlukan. Jadi, ini hanyalah tubuh saya yang ‘memberi isyarat untuk berhenti’, dan saya perlu mengikut nasihat doktor.”

“Membuat keputusan ini adalah sesuatu yang sangat sukar dan pada masa tertentu terasa tidak adil. Namun pada masa yang sama, tubuh saya telah melakukan tugas yang luar biasa selama bertahun-tahun, dan saya melihat ia sebagai satu keistimewaan besar untuk dapat bermain, berlatih dan memenangi begitu banyak kejohanan utama di peringkat tertinggi.”

“Tidak ramai orang yang berpeluang mengalami apa yang saya alami serta bertemu dengan begitu ramai insan hebat. Itulah sebabnya saya melihat kembali kerjaya saya dengan penuh kegembiraan,” tambah Axelsen lagi.