Pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil menyaksikan kejutan dilakarkan dengan beberapa pemain pilihan ditunjukkan jalan keluar daripada persaingan.

Kejutan terbesar pastinya terarah kepada kejayaan pasangan Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin menundukkan gandingan nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menerusi aksi ‘rubber set’.

Baca Juga:

Hsiang Chieh-Chi-Lin yang kini menghuni ranking ke-35 dunia itu beraksi cemerlang untuk menang ke atas lawan dari Denmark itu dengan jurang 21-16, 18-21, 22-20.

Nasib malang turut menimpa pasangan Malaysia yang berada ranking ketiga dunia acara beregu lelaki iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas mereka tewas kepada Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard juga menerusi ‘rubber set’.

Sementara itu, He Ji Ting-Ren Xuang yang diletakkan sebagai pilihan keenam dikecewakan oleh pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy 21-23, 21-19, 11-21.

Pemain perseorangan lelaki ranking ke-21 dunia, Lee Cheuk Yiu turut beraksi cemerlang dengan melakar kejutan ke atas jaguh Denmark, Viktor Axelsen (pilihan keempat kejohanan) dengan mata 21-17, 21-13.

Manakala, pemain muda perseorangan wanita dari Jepun yang merupakan pilihan keenam kejohanan, Tomoka Miyazaki terpaksa akur dengan kehebatan Mia Blichfeldt dari Denmark 21-15, 14-21, 16-21.

Dalam acara beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang merupakan pilihan kelima kejohanan tunduk kepada wakil Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-19, 14-21, 13-21.

Terbuka Malaysia 2025 merupakan kejohanan berprestij dengan status Super 1000 yang menawarkan mata ranking tinggi dan hadiah wang tunai lumayan untuk dimenangi.

Setakat artikel ini ditulis, tujuh wakil Malaysia terpaksa menelan kepahitan tersingkir seawal pusingan pertama.

Mereka yang dimaksudkan ialah Leong Jun Hao, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing