Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mendedahkan beliau ada memberikan tawaran kepada jurulatih tempatan untuk menggantikan tempat Tan Bin Shen.

Ini memberikan gambaran jelas bahawa Rexy tidak pernah melupakan tenaga tempatan dalam usaha memperkuatkan barisan kejurulatihan skuad beregu lelaki negara.

Baca Juga:

Seperti dilaporkan sebelum ini, nama Herry Iman Pierngadi dilaporkan semakin hampir untuk diumumkan sebagai pengendali baharu dalam sektor tersebut.

Jurulatih legenda dari Indonesia itu juga turut mendedahkan hanya menunggu tawaran rasmi daripada BAM dan bersedia untuk mengubah angin ke Malaysia.

Namun sebelum membuat pilihan untuk merekrut jurulatih asing, Rexy mengakui ada membuat tawaran kepada bekas seteru dan anak buahnya.

Menurut sumber NST Online, individu yang dimaksudkan ialah Yap Kim Hock, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong dan Lee Wan Wah.

Bagaimanapun, Kim Hock yang merekrut Rexy menyertai BAM pada 2005 berada di China untuk mengendalikan salah sebuah kelab.

Sementara itu, Lee Wan Wah pula menyatakan komitmennya untuk terus kekal bersama skuad kebangsaan Jepun dimana beliau mungkin akan bergandingan bersama Hiroyuki Endo untuk membimbing sektor beregu lelaki selepas pemergian Tan Kim Her ke India.

Koo Kien Keat pula mahu memfokuskan kepada peranannya selaku ikon badminton manakala Tan Boon Heong sedang menguruskan akademinya sendiri.

Komitmen keempat-empat legenda badminton tanah air itu menyebabkan mereka terpaksa menolak secara baik tawaran diberikan Rexy.

Sehubungan dengan itu, Herry Iman bersama-sama Mathias Boe dan Flandy Limpele berada dalam radar BAM dan teka-teki itu akan berakhir pada minggu hadapan.

 

Sumber