Kesemua aksi melibatkan wakil Malaysia di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton China Masters 2024 sudah pun berakhir dengan dua pasangan beregu campuran berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
Pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi, pasangan beregu campuran iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang yang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 11-20 untuk menang 23-21 pada set kedua.
Baca Juga:
- China Masters 2024: Pang Ron-Su Yin Kejutkan Pasangan Ranking Ketiga Dunia Untuk Ke Suku Akhir
- China Masters 2024: Zii Jia Tewas Di Pusingan Pertama Kepada Lakshya Sen
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
Kemenangan penting dilakarkan ke atas Guo Xin Wa/Chen Fang Hui itu menyaksikan Tang Jie dan Ee Wei menempah pertemuan menentang satu lagi pasangan tuan rumah yang merupakan pilihan utama kejohanan, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Rentak cemerlang sektor beregu campuran itu diteruskan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tidak terlalu berdepan masalah menundukkan pasangan Chinese Taipei, Chen Cheng Kuan/Hsu Yin-Hui dengan kemenangan 21-10, 21-16.
Menanti mereka di separuh akhir esok ialah Tang Chun Man-Tse Ying Suet daripada Hong Kong yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.
Dua sandaran negara dalam kategori beregu lelaki gagal mengikuti jejak langkah apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-18, 19-21, 21-23.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 23-25, 21-17, 12-21.
Sementara itu, Pearly Tan-M. Thinaah turut gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada pasangan wanita ranking nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu/Tang Ning 16-21, 17-21.
China Masters 2024 merupakan kejohanan bertarat Super 750 dalam kalendar pertandingan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).