Insiden memalukan terjadi pada pertemuan Bhayangkara FC  lawan Dewa United dalam aksi Elite Pro Academy (EPA) B-20 yang berlangsung di Stadium Citarum, Semarang Jawa Tengah, Indonesia semalam.

Beraksi di gelanggang lawan tidak mengganggu rentak Dewa United B-20 untuk mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Kelvin Hairulis (minit ke-16) dan Abu Thalib (minit ke-81).

Di sebalik kemenangan itu, ada perkara lebih mencuri tumpuan ramai apabila insiden yang langsung tidak diingini telah berlaku sebaik sahaja perlawanan tamat.

Berakhir sahaja perlawanan, situasi di tepi padang mula tegang selepas kedua-dua pasukan saling bersemuka menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Suasana semakin tidak terkawal selepas salah seorang pemain Bhayangkara FC tiba-tiba melepaskan tendangan ala ‘kungfu’ ke arah seorang pemain Dewa United.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Semarang Football (@smgfootball)

Akibat tendangan tersebut, salah seorang pemain Dewa United terbaring dan serta-merta diberikan rawatan perubatan.

Tindakan itu juga menyebabkan pemain Dewa United pula bertindak balas.

Dalam video yang sedang tular di media sosial, bekas pemain skuad B-17 Indonesia, Fadly Alberto Hengga dikatakan melakukan tendangan tersebut.

Selain itu, barisan kejurulatihan Bhayangkara juga dikatakan turut terlibat dengan insiden memalukan ini.

Legenda Indonesia Bersuara

Ia turut mendapat perhatian legenda bola sepak Indonesia, Firman Utina yang memberikan teguran keras terhadap peranan barisan kejurulatihan dalam mengawal disiplin pemain.

Menerusi hantaran di laman Instagram peribadinya, Firman menegaskan:

“Anda adalah seorang jurulatih, bukannya samseng. Sebab itu jangan tidur semasa kursus kejurulatihan supaya anda boleh belajar bersama-sama. Ini bukan lagi zaman untuk anda buat sesuka hati. Kita akan berjumpa lagi dalam masa terdekat ya jurulatih.”

Video insiden tersebut telah mendapat perhatian meluas daripada peminat bola sepak di Indonesia yang rata-ratanya mengecam tindakan agresif itu, lebih-lebih lagi ia melibatkan pemain muda yang berpotensi besar.

Ramai yang berpendapat bahawa pemain berbakat seperti Fadly Alberto sepatutnya menunjukkan disiplin yang tinggi dan bukannya terlibat dalam aksi keganasan di atas padang.