Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mendapati kira-kira 85.3% warga emas di Malaysia tidak menua dengan sihat, lapor The Star.

Tinjauan yang dijalankan di seluruh negara oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) di bawah Kementerian Kesihatan, membekalkan data utama mengenai status kesihatan rakyat Malaysia.

Edisi 2025 ini merupakan penilaian kedua terhadap warga emas berumur 60 tahun ke atas, menyusuli kajian sulungnya pada tahun 2018.

Menurut NHMS 2025, hanya 14.7% warga emas memenuhi kriteria penuaan sihat, berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 7,528 responden.

5 kriteria warga emas sihat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa penuaan sihat; ditakrifkan oleh lima kriteria ketat: sokongan sosial yang kuat, ketiadaan gangguan kognitif seperti demensia, bebas daripada kemurungan, berdikari dalam aktiviti harian, serta sama ada bebas daripada penyakit kronik atau mempunyai keadaan penyakit yang terkawal.

“Jika hanya 14.7% yang menua dengan sihat, selebihnya sedang bergelut dengan penyakit kronik dan kelesuan fizikal (frailty),” kata Dzulkefly semasa melancarkan dapatan NHMS 2025 semalam.

“Penyakit kronik dalam kalangan warga emas semakin meningkat, dengan 39% menghidap diabetes, 73% menghidap hipertensi (darah tinggi) dan 76% mempunyai kolesterol tinggi,” tambah beliau.

Kementerian Kesihatan seterusnya menyatakan bahawa 68% warga emas hidup dengan sekurang-kurangnya dua daripada tiga keadaan kronik ini, manakala 30% terkesan oleh ketiga-tiganya sekali.

Beliau menyifatkan trend ini sebagai membimbangkan dan memerlukan strategi intervensi yang komprehensif.

Sumber