Presiden Persatuan Pedagang Bakeri, Biskut, Gula-Gula, Mi dan Kuey Teow Malaysia, Chaang Tuck Cheong menyatakan mi kuning dan kuey teow dijangka mengalami kenaikan harga akibat konflik di Iran yang masih belum selesai.

Menurut beliau, kos pembungkusan plastik untuk mi sahaja telah melonjak hampir 30 peratus sejak konflik tercetus lebih sebulan yang lalu, petik Malay Mail.

Kenapa dijangka harga naik?

Bahan utama yang digunakan dalam botol dan pembungkusan makanan Polyethylene terephthalate (PET) dihasilkan daripada pemprosesan minyak mentah.

Selain bergelut terpaksa membayar lebih untuk pembungkusan plastik, Chaang berkata bahan tersebut tiba lebih lewat daripada biasa berikutan lonjakan permintaan.

“Dahulu, kami boleh mendapatkan bekalan pembungkusan dalam tempoh tiga minggu selepas pembelian dibuat, tetapi kini sesetengah pengilang mi terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam minggu.

“Segelintir pembekal juga telah memendekkan tempoh pembayaran kami daripada dua bulan sebelum ini kepada hanya satu bulan sekarang yang membawa kepada kekangan aliran tunai yang serius,” jelas beliau.

Tambah Chang, kenaikan harga diesel yang mendadak selama beberapa minggu telah meningkatkan kos pembuatan, logistik, dan caj tambang —perbelanjaan diesel merangkumi hampir satu pertiga daripada kos pengeluaran mi.

“Beberapa premis tradisional berskala kecil yang masih menggunakan kayu api untuk menghasilkan mi mungkin tidak menaikkan harga bagi mengekalkan daya saing mereka.

“Namun, syarikat-syarikat besar yang bergantung kepada diesel untuk pengeluaran mi tidak mempunyai pilihan (selain menaikkan harga),” kata Chaang.

Sumber