Ramai dalam kalangan masyarakat kita mungkin pernah mendengar tentang ‘peraturan 30 peratus’ yang kononnya membenarkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengambil bahagian tersebut daripada jumlah keseluruhan derma awam yang dikutip

Namun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menegaskan bahawa kefahaman ini sebenarnya adalah salah sama sekali, petik temu bual eksklusifnya bersama Harian Metro.

Berikut adalah pencerahan sebenar mengenai salah faham pengurusan dana ini:

Bukan 30 Peratus Dari Total Derma

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan bahawa dari sudut tadbir urus organisasi, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah menetapkan garis panduan di mana kos pentadbiran yang baik lazimnya tidak boleh melebihi 30 peratus daripada belanjawan tahunan pertubuhan.

Beliau memberi amaran keras bahawa angka ini bukanlah bermaksud pihak NGO atau pengasasnya bebas memotong 30 peratus daripada wang sumbangan orang ramai untuk dijadikan komisen atau keuntungan peribadi.

Khas Untuk Kos Operasi Sahaja

Peratusan ini sebenarnya dikhususkan secara spesifik untuk menampung kos operasi atau overhead sesebuah pertubuhan.

Ini merangkumi komitmen seperti pembayaran gaji kakitangan, sewa pejabat, bil utiliti, serta pengurusan program dan kos pentadbiran yang lain.

Sebagai gambaran yang mudah difahami, jika jumlah kos operasi (seperti bayaran gaji, sewa bangunan, dan utiliti) sesebuah NGO adalah RM30,000 sebulan, maka hanya sejumlah RM9,000 sahaja yang dibenarkan untuk diambil sebagai kos pentadbiran.

Kutipan Puluhan Juta Tidak Mengubah Peraturan

Ketetapan ini tidak akan berubah biarpun NGO tersebut berjaya memungut sumbangan awam sehingga berpuluh juta ringgit, kerana syaratnya terikat kepada 30 peratus daripada belanja tahunan, bukannya nilai kutipan derma.

Pendekatan ini diperkenalkan sebagai panduan rasmi bagi memastikan kos pentadbiran sesebuah NGO sentiasa terkawal dan tidak melangkaui kos pelaksanaan program sebenar.

Risiko Pecah Amanah Tanpa Ketelusan

Tan Sri Azam Baki turut mengingatkan bahawa pengurusan kos pentadbiran ini perlu disokong oleh tahap ketelusan yang tinggi.

Sekiranya penggunaan dana tersebut tidak disertakan dengan laporan kewangan atau proses pengauditan yang teliti, perkara ini berpotensi besar untuk menimbulkan risiko salah guna wang awam, konflik kepentingan, mahupun jenayah pecah amanah dalam kalangan pengurusan NGO.

Sumber