Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan ‘Op Sohor’ yang dijalankan SPRM ketika ini turut mendapat kerjasama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurutnya, pihaknya mendapat pelbagai maklumat hasil perkongsian daripada Baginda berhubung sindiket itu, petik Buletin TV3.
“Saya ingin memberitahu bahawa Yang Amat Mulia Kebawah Duli Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Sultan Johor dalam hal ini amat bekerjasama (dengan SPRM) dan Baginda mahu perkara ini dibanteras.
“Banyak juga kita (SPRM) dapat maklumat-maklumat yang kami diperolehi daripada hasil rangkaian Baginda,”katanya.
Memetik laporan itu lagi, Tan Sri Azam Baki menyatakan sehingga kini sindiket berkenaan dipercayai hanya tertumpu di kawasan selatan tanah air dan tiada tangkapan baharu dibuat.
“Setakat ini belum nampak lagi bukti-bukti berkenaan, setakat ini banyak tertumpu di kawasan selatan negara,” katanya lagi.
Terdahulu Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) menahan 10 individu berusia 30 hingga 55 tahun, termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera serta seorang warga Indonesia sekitar Lembah Klang.
Serbuan selepas setahun risikan itu turut membawa kepada rampasan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan.