Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mencatatkan prestasi bidaan yang sangat luar biasa menerusi sistem dalam talian JPJeBid.
Sejak mula dibuka pada 20 April 2026 yang lalu, Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri eksklusif “P_P” telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada rakyat Malaysia.
Bidaan yang dilancarkan selama lima hari bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-80 JPJ ini nyata bukan ‘biasa-biasa’ apabila ia berjaya merekodkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM21,684,455.00, petik Berita Harian.
P1P dan P9P Raih Bidaan Paling ‘Kayangan’
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, terdapat lima NPI yang merekodkan nilai bidaan tertinggi selepas sistem ditutup tepat pada jam 10 malam.
Nombor plat P1P telah mencuri tumpuan ramai apabila dibida mencecah harga RM1.1 juta, manakala nombor P9P pula disambar pada nilai RM1.07 juta.
Tidak kurang hebatnya, tiga lagi nombor utama turut mendapat bidaan ratusan ribu ringgit iaitu P8P (RM613,000), P6P (RM600,777) dan P2P (RM512,000).
Secara keseluruhannya, persaingan sengit ini melibatkan seramai 19,370 pembida dan sebanyak 5,973 nombor pendaftaran telah pun berjaya dimenangi.
Angka ini jauh melonjak naik berbanding rekod awal pertengahan bidaan yang mencatatkan penglibatan lebih 6,000 pembida.
Ke Mana Perginya Hasil Kutipan Puluhan Juta Ini?
Bagi anda yang terlepas peluang untuk merebut nombor kegemaran, usah risau kerana masih terdapat baki sebanyak 4,026 nombor pendaftaran siri ini yang sedia untuk ditawarkan kepada orang awam pada harga minimum.
Hasil kutipan lumayan ini bukan sekadar menambah pendapatan kerajaan menerusi pengenalan NPI, malah ia akan disalurkan kembali kepada rakyat.
“Sebagai Kementerian yang sentiasa memikirkan cara menambah hasil kerajaan, kita menggunakan pelbagai pendekatan termasuk memperkenalkan NPI selain nombor pendaftaran biasa,” kata Anthony Loke ketika ditemui ada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun JPJ ke-80 di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa sebahagian daripada keuntungan ini bakal dimanfaatkan oleh golongan B40 menerusi beberapa inisiatif padu seperti pembiayaan lesen memandu percuma.
Selain itu, ia turut digunakan untuk program penukaran topi keledar dan pemberian minyak hitam percuma dalam kempen advokasi seperti di acara Karnival Jom Heboh X Mega JPJ MADANI 2026.