Jenama kereta jenama China terkemuka, Zeekr telah menjadi jenama kereta China pertama dipilih bekerjasama dengan syarikat modifikasi terkemuka dunia, MANSORY.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas MANSORY Design & Holding GmbH, Kourosh Mansory, pasukannya segera menyedari bahawa Zeekr 9X bukan sahaja bakal menjadi tambahan yang sempurna kepada portfolio mereka, malah ia juga mampu memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan dan perluasan jenama MANSORY itu sendiri.

Jentera yang diberi nama ‘Zeekr 9X by MANSORY’ ini telah dipertontonkan secara eksklusif buat julung kalinya di dunia pada Pameran Auto Beijing yang berlangsung pada 24 April 2026.

Edisi pengenalan ini akan dipamerkan sebagai model ‘First Edition’ di reruai MANSORY, lengkap dengan kemasan panel pintu dalaman yang amat istimewa.

Kemasan Karbon Penuh dan Modifikasi Pintu ‘Suicide’

Melihat pada rekaan luarannya, ‘Zeekr 9X by MANSORY’ tampil dengan rekaan yang jauh lebih garang menerusi bibir hadapan baharu berlogo MANSORY serta lampu nyalaan siang terbina dalam, yang kesemuanya diperbuat daripada gentian karbon.

Identiti agresif kenderaan ini disempurnakan lagi dengan lengkungan roda baharu berserta liang udara, skirt sisi, spoiler bumbung yang lebih besar, serta apron belakang yang dilengkapi lampu brek tengah.

Sudah menjadi tradisi MANSORY, kesemua komponen badan luaran ini diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon dan boleh dicat mengikut spesifikasi pelanggan.

Namun, apa yang paling mencuri tumpuan pada modifikasi ini adalah penukaran pintu belakang kepada rekaan pintu jenis bukaan berlawanan atau ‘Suicide Doors’ yang ditawarkan di bawah program penyesuaian individu mereka.

Zeekr Jadi Jenama Kereta China Pertama Bekerjasama Dengan MANSORY
Sumber Gambar: MANSORY

Modifikasi yang sangat kompleks ini melibatkan pemindahan cangkuk pintu dari pilar-B ke pilar-C, serta pengubahan keseluruhan mekanisme pembukaan pintu termasuklah kedudukan pemegang pintu bagi memastikan rupa bentuk kenderaan kekal harmoni.

Segala modifikasi teknikal ini dilakukan tanpa menjejaskan ciri keselamatan standard kenderaan, dan ia menggunakan alat ganti baharu serta dicat semula dengan sangat teliti sehingga hasil ubah suai tersebut tidak kelihatan cacat celanya.

Kepakaran luar biasa ini pernah dipamerkan secara mengagumkan oleh MANSORY pada model Mercedes G-Class pada tahun 2022 di bawah projek yang dinamakan ‘New Access of Luxury’.

Kekalkan Nadi Hibrid 1,381hp

Berbeza dengan kebiasaan, jurutera MANSORY mengambil keputusan untuk tidak menyentuh bahagian enjin memandangkan unit pacuan hibrid standard SUV ini sudah pun memiliki angka kuasa 1,381hp dan tork maksimum setinggi 1,410 Nm.

SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.1 saat, dengan kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 240 km/j.

Bagi memadankan prestasi luar biasa ini, sistem ekzos ‘flap’ MANSORY dengan dua paip ekzos di setiap sisi telah disepadukan dengan sempurna pada apron belakang gentian karbon bagi menghasilkan runut bunyi yang lebih mengancam.

Zeekr Jadi Jenama Kereta China Pertama Bekerjasama Dengan MANSORY
Sumber Gambar: MANSORY

Selain itu, Zeekr 9X juga melakar sejarah sebagai kenderaan pertama yang menggunakan rekaan rim baharu daripada MANSORY iaitu FT.19 bersaiz 10×24 inci pada kesemua roda.

Rim aloi ringan tempaan ini dipadankan dengan tayar bersaiz 295/30R20, yang direka khusus untuk menampung beban dan keperluan prestasi ekstrem SUV berkuasa tinggi moden.

Kabin Super Mewah ‘First Edition’

Menjengah ke ruang dalaman, “Zeekr 9X by MANSORY” memukau penumpang dengan kemasan kulit sepenuhnya dalam gabungan dua rona warna kontras.

Keselesaan bertaraf kelas pertama ditawarkan melalui tempat duduk elektrik sepenuhnya dengan fungsi pengudaraan di bahagian hadapan dan belakang, disertakan dengan sebuah peti sejuk yang dibina secara elegan pada konsol tengah di antara tempat duduk belakang.

Zeekr Jadi Jenama Kereta China Pertama Bekerjasama Dengan MANSORY
Sumber Gambar: MANSORY

Bagi menonjolkan status ‘First Edition’, keempat-empat panel pintu kabin ini bukan sahaja dihiasi dengan logo MANSORY bercahaya, malah ia turut menampilkan garisan lampu latar (backlit) yang melakarkan lokasi-lokasi penting di seluruh dunia yang amat bermakna bagi jenama Zeekr.

Ruang kabin mewah ini turut dilengkapkan dengan stereng sport MANSORY, pelapik lantai baharu, pelbagai komponen gentian karbon (termasuk keseluruhan konsol tengah), serta pedal sport karbon MANSORY yang mengangkat lagi aura eksklusif jentera ini ke tahap maksimum.