Percutian yang sepatutnya menjanjikan pengalaman indah telah bertukar menjadi satu krisis kesihatan yang serius bagi para penumpang dan kru kapal persiaran mewah, MV Hondius.

Kapal tersebut kini sedang berdepan dengan penularan wabak maut hantavirus yang telah meragut nyawa dan menyebabkan beberapa individu memerlukan rawatan kecemasan segera.

Maut Tanpa Penawar: Kapal Cruise Mewah Dihalang Berlabuh Ekoran Penularan Hantavirus
Sumber Gambar: Science news

Setakat ini, terdapat tujuh kes yang telah disahkan atau disyaki berkaitan dengan penularan wabak ini di atas kapal tersebut. Tragedi ini telah meragut nyawa tiga individu, iaitu sepasang suami isteri warganegara Belanda serta seorang warganegara Jerman.

Difahamkan berdasarkan laporan, pasangan Belanda yang maut itu dipercayai telah melakukan perjalanan merentasi Amerika Selatan, khususnya Argentina, sebelum ini.

Maut Tanpa Penawar: Kapal Cruise Mewah Dihalang Berlabuh Ekoran Penularan Hantavirus
Photo by Richard Catabay on Unsplash

Selain itu, seorang warga Britain telah dipindahkan dari kapal dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU) di Afrika Selatan, manakala dua orang kru kapal kendalian syarikat Oceanwide Expeditions itu amat memerlukan rawatan perubatan segera.

Terdapat juga seorang lagi individu yang melaporkan simptom demam ringan.

Memetik laman perubatan vaksin, setakat ini masih belum ada vaksin hantavirus yang tersedia secara meluas di peringkat global. Walaupun vaksin jenis dinyahaktifkan bagi virus Hantan dan Seoul dua punca utama demam berdarah dengan sindrom renal (HFRS) telah digunakan di China dan Korea Selatan, tahap keberkesanannya masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Selain itu, tiada vaksin yang dilesenkan secara global untuk merawat semua bentuk penyakit tersebut, terutamanya bagi sindrom pulmonari hantavirus (HPS)

Kebiasaannya, hantavirus berjangkit melalui sentuhan dengan haiwan pengerat atau tikus yang telah dijangkiti. Namun, situasi penularan di atas kapal MV Hondius ini telah menarik perhatian meluas kerana corak penyebarannya yang berbeza.

“Penyebaran virus ini dari manusia ke manusia adalah situasi yang amat jarang berlaku. Namun begitu, kami mengesyaki wujudnya jangkitan antara manusia dalam kalangan kontak yang sangat rapat di atas kapal persiaran ini,” jelas wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulas mengenai krisis tersebut.

Dia turut menambah, “Walaubagaimanapun, agensi kesihatan PBB mengulangi bahawa risiko penularan wabak ini kepada orang awam pada masa ini masih kekal rendah”.

Kini, nasib 150 orang yang berada di atas kapal pendaftaran Belanda tersebut masih tergantung. Kapal itu yang pada asalnya dijadualkan untuk menamatkan pelayaran di negara kepulauan Cabo Verde (dahulunya dikenali sebagai Cape Verde) di luar pantai Afrika Barat, kini berlabuh di perairan negara tersebut.

Maut Tanpa Penawar: Kapal Cruise Mewah Dihalang Berlabuh Ekoran Penularan Hantavirus
Sumber Gambar: Cape Verde

Pihak berkuasa Cabo Verde tidak membenarkan kapal tersebut berlabuh dan menurunkan penumpang ekoran kebimbangan terhadap wabak tersebut.

Sebagai langkah penyelesaian, Kementerian Luar Belanda sedang mengatur pemindahan perubatan ke Belanda untuk tiga orang individu dari kapal berkenaan. Sementara itu, MV Hondius akan meneruskan pelayaran membelah lautan menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol

Di sana kelak, kesemua 150 orang penumpang dan kru akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang teliti, diberikan rawatan, sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Sumber