Penyerang berbisa Selangor, Chrigor Moraes yang kini berada dalam prestasi terbaik mengakui bahawa ‘kebahagiaannya’ di luar padang memberikan kesan besar dalam ketajamannya.

Chrigor cemerlang meledakkan dua gol ketika membantu Selangor menundukkan Nam Dinh 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 di Kelana Jaya tempoh hari.

Dua gol tersebut menjadikan jumlah jaringan pemain berusia 25 tahun itu kepada 40 gol dalam 45 perlawanan semua pertandingan musim ini, musim pertamanya selepas menyertai Selangor pada Julai tahun lalu.

Rahsia Kecemerlangan Chrigor Moraes

“Apabila saya datang ke Selangor, sejak hari pertama sehingga sekarang saya rasa seperti rumah saya di sini. Saya ada keluarga di sini, isteri saya melahirkan anak di sini, jadi semua orang menyokong kami. Ini sangat penting untuk saya kerana saya sangat sayangkan keluarga saya.”

“Saya mahu dekat dengan keluarga dan di sini saya ada satu keluarga, semuanya dari Brazil. Ini sangat penting untuk saya dan saya rasa sangat selesa untuk bermain dan menjaringkan gol.”

“Saya rasa selamat di sini. Isteri saya tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, saya juga, tetapi di sini saya boleh keluar dan cuba bercakap. Saya ada kawan di luar bola sepak di sini.”

Chrigor Moraes
Kredit Foto: SPORTFIVE

“Saya datang dari Thailand dan di sana saya hanya ada kawan dalam kelab. Di sini saya boleh pergi minum kopi dengan kawan-kawan. Ini berbeza untuk saya. Perkara seperti ini saya boleh lakukan di Brazil tetapi di luar negara ia berbeza,” tambah Chrigor Moraes lagi.

Chrigor dalam pada itu turut mahu fokus untuk melepasi cabaran Nam Dinh dalam aksi kedua separuh akhir di Vietnam pada hari Rabu.

“Kami tahu ini sangat penting untuk kami dan kelab, tetapi kami juga tahu ia sukar dan ada sedikit tekanan kerana sudah 10 tahun.”

“Tetapi kami sentiasa bersama dan masih ada satu lagi perlawanan untuk ke final. Ia perlawanan yang sukar tetapi kami tahu kami boleh melakukannya.”

“Bola sepak hari ini adalah tentang keyakinan. Rakan sepasukan saya memberikan keyakinan itu kepada saya dan saya tahu apabila bola datang saya boleh kekal tenang kerana mereka yakin saya boleh menjaringkan gol. Apabila saya mengawal bola, badan saya boleh kekal tenang.”