Ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson percaya aksi timbal balik di hadapan penyokong sendiri di Chang Arena akan membantu pasukannya mara ke pentas final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26.

Kelab gergasi Thailand itu memiliki kelebihan dua gol selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu lalu.

Buriram United akan bertemu JDT di Chang Arena pada jam 8.00 malam esok.

Jaringan pasukan baharu sahaja sekali lagi dimahkotakan sebagai juara Thai League 1 itu terhasil menerusi Guilherme Bissoli (dua gol) dan Goran Causic. Manakala jaringan tunggal JDT pula disumbangkan oleh Ager Aketxe.

Melihatkan kepada kelebihan beraksi di laman sendiri, pengendali kelahiran Leeds itu yakin anak buahnya mampu untuk meneruskan rentak cemerlang ke atas wakil Malaysia tersebut.

JDT
Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Sorakan Padu Penyokong Sendiri Jadi Azimat Buriram

“Kami sentiasa yakin dengan kemampuan sendiri, terutamanya apabila bermain di laman sendiri.”

“Kami mempunyai sokongan padu daripada penyokong, jadi Johor Darul Ta’zim perlu berdepan dengan suasana itu. Penyokong kami sentiasa berada di belakang pasukan dalam setiap perlawanan.”

“Kami percaya boleh memenangi setiap perlawanan. Bukan bermaksud kami angkuh, tetapi kami yakin sebagai satu kumpulan bahawa kami adalah pasukan yang kuat, memiliki pemain berkualiti dan bekerja keras bersama-sama.”

“Apabila semua itu digabungkan, maka peluang untuk memenangi perlawanan bola sepak menjadi lebih cerah,” ujar Jackson meluahkan keyakinannya.

Pemenang aksi separuh akhir itu akan mara ke final Piala Shopee yang berlangsung secara timbal balik pada 20 dan 27 Mei nanti.

Sebagai rekod, Buriram United merupakan juara bertahan selepas menewaskan Cong An Hanoi dari Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti.