Johor Darul Ta’zim (JDT) tersentak di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri selepas tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 yang berlangsung sebentar tadi.
Meskipun turun beraksi di laman sendiri serta mendominasi permainan jelas tidak dapat membantu skuad kendalian Xisco Munoz itu untuk mencatatkan kemenangan.
Sebaliknya, Buriram United yang memiliki rekod pertemuan lebih baik ketika bertemu kelab gergasi Malaysia itu dilihat lebih garang menyempurnakan peluang terhidang.
Gol pembukaan Buriram United hadir pada minit ke-34 selepas peledak berbisa, Guilherme Bissoli melakukan rembatan kaki kiri hasil hantaran lintang rendah dilakukan Sasalak Haiprakhon di sebelah kanan pintu gol JDT.
Goran Causic menambah luka tuan rumah ketika aksi memasuki masa kecederaan babak pertama selepas beliau menanduk masuk bola hasil hantaran Theerathon Bunmathon untuk melebarkan kedudukan buat Buriram United.
Jaringan yang dinantikan penyokong JDT akhirnya menjelma pada minit ke-92 selepas Ager Aketxe berjaya merapatkan jurang jaringan.
Kegembiraan kem JDT itu hanya bertahan dua minit apabila Bissoli menambah jaringan ketiga sekali gus membolehkan Buriram United membawa kelebihan dua jaringan menjelang aksi separuh akhir kedua pada 13 Mei nanti di Chang Arena.