Penyanyi Ani Maiyuni meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap individu yang didakwa pernah membuli anaknya, Viviana, sehingga meninggalkan kesan trauma yang masih dirasai sehingga hari ini. Menurut Ani, walaupun insiden tersebut sudah lama berlaku, dia berharap pihak terlibat tampil memohon maaf secara terbuka.

Ani berkata sebagai seorang ibu, sukar untuk dia melupakan apa yang berlaku lebih-lebih lagi apabila Viviana didakwa melalui pengalaman menyakitkan ketika zaman persekolahan.

Menurutnya lagi, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada individu yang terlibat.

Lebih mengundang rasa sedih, Ani mendakwa sebahagian individu yang dikaitkan dengan insiden itu kini meneruskan kehidupan seperti biasa termasuk aktif dalam bidang sukan tanpa rasa bersalah.

Perkara itu membuatkan dirinya semakin terluka apabila mengenangkan potensi anaknya yang mungkin terjejas akibat pengalaman pahit tersebut.

“Mereka masih bermain seperti biasa, setiap musim saya lihat wajah mereka masih bebas bermain. Berkat ke macam tu?” soal Ani Maiyuni yang merasakan, jika anaknya tidak dibuli, mungkin Viviana akan terus bermain di gelanggang seperti biasa.

Sebelum ini, Viviana pernah tampil berkongsi pengalaman hitam menjadi mangsa buli melibatkan beberapa pelajar senior ketika mengikuti aktiviti bola jaring di sekolah.

Dia mendakwa mengalami layanan kasar termasuk diperlakukan secara fizikal dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum berani membuka cerita tersebut kepada umum.

Dipetik dari sumber Mstar, Ani Mayuni berkata: “Saya sebagai ibu minta anak-anak yang membuli itu jujurlah, datang minta maaf.

“Bohong kalau saya kata saya dah tak rasa apa-apa. Sampai hati kau buat anak aku sampai macam itu.”

“Kalau Viviana ada buat kesalahan, itu ke cara kau menghukum?”

Viviana menjelaskan tujuan dia berkongsi pengalaman berkenaan bukan untuk membuka aib mana-mana pihak, sebaliknya mahu meningkatkan kesedaran tentang isu buli yang sering dipandang ringan.

Dalam masa sama, Ani menegaskan dia tidak berniat menuduh keseluruhan pihak atau komuniti tertentu, namun berharap mereka yang terlibat dapat tampil mengambil tanggungjawab atas perbuatan lalu. Malah, dia mendakwa laporan polis dan dokumen perubatan berkaitan kes tersebut turut pernah dibuat sebagai bukti.

Isu yang dikongsikan ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai kesan jangka panjang buli terhadap mangsa, terutama trauma emosi yang boleh terbawa sehingga dewasa.