Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan penting warga pendidik kepada rakyat dan negara, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Al-marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, telah menitahkan agar Khutbah Jumaat di seluruh negeri Perak pada 15 Mei 2026, hari ini, bertemakan guru.
Inisiatif ini dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei 2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, baginda telah memperkenankan agar warga pendidik diberikan penghormatan khas untuk menjadi khatib jemputan.
Memetik kenyataan rasmi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPK), Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengemukakan 625 nama guru yang kemudiannya mendapat perkenan baginda untuk menaiki mimbar dan membaca khutbah bertajuk ‘GURU BERHIKMAH MEMBINA INSAN SEJAHTERA’ di 625 buah masjid serta surau diri Jumaat di seluruh negeri Perak.
Sebagai peneraju inisiatif ini, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam akan mengetuai warga pendidik dengan menyampaikan khutbah di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris Shah II).
Turut diberikan penghormatan adalah Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Haji Omar bin Salleh yang akan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, dan Ustaz Samad bin Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Merchu yang akan menyampaikannya di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Sempena dengan sambutan ini juga, Jabatan Pendidikan telah menganjurkan program pengimarahan masjid di Masjid Negeri Perak yang menghimpunkan 2,000 orang pelajar dan warga pendidik.
Program berkenaan bermula pada jam 10.20 pagi dengan sesi motivasi kerohanian murid, dan disusuli dengan majlis bacaan Surah Yasin, tahlil, serta doa selamat.
Bagi menyempurnakan hari yang bermakna tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan berangkat untuk menunaikan Solat Jumaat bersama-sama para pelajar dan warga pendidikan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) pada tarikh berkenaan.