Melaka telah melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan pelaksanaan sistem identiti digital untuk haiwan ternakan, khususnya bagi haiwan seperti lembu dan kerbau.
Sistem inovatif ini menggunakan kaedah penandaan kod Respons Pantas (QR) yang dipasang pada telinga haiwan, yang berfungsi seumpama ‘kad pengenalan’ untuk melancarkan serta menambah baik pengurusan data ternakan, petik Buletin TV3.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan bahawa tag pengenalan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti maklumat penting dengan lebih mudah dan pantas, termasuk butiran pemilik, lokasi, rekod kesihatan, serta pergerakan haiwan tersebut.
Inisiatif ini bakal memodenkan sektor penternakan dengan menukar kaedah lama kepada sistem pengurusan data yang lebih terancang, sekali gus menjadikan Melaka sebagai perintis dan rujukan bagi sistem penternakan di peringkat kebangsaan pada masa hadapan.
“Sebolehnya, kita tidak mahu penternak dipersalahkan. Tetapi pada masa sama, kita juga tidak boleh berkompromi soal keselamatan rakyat.
“Ini kerana sebelum ini sebanyak lebih 50 aduan dan 835 kemalangan berkait haiwan ternakan berkeliaran telah direkodkan di Melaka sejak tahun 2023.
“Inisiatif ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penternak agar lebih bertanggungjawab terhadap pengurusan ternakan masing-masing,” kata beliau.
Sehubungan itu, Ab Rauf menyeru semua penternak lembu dan kerbau di negeri ini untuk memanfaatkan insentif pemasangan ‘tagging’ secara percuma bagi haiwan ternakan mereka sehingga hujung tahun ini.
Sistem penanda digital ini telah dilancarkan secara rasmi di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka (PPM) dan telah diwartakan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Haiwan Ternakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2026.