Seramai 21 orang rakyat Malaysia telah menerima penghormatan tertinggi apabila terpilih untuk menyertai Program Tetamu Raja Arab Saudi, juga dikenali sebagai program Khadimul Haramain, bagi menunaikan ibadah haji pada tahun 2026.

Program tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi ini adalah ditaja sepenuhnya melalui peruntukan peribadi Raja Salman, petik Sinar Harian.

Penajaan menyeluruh ini meliputi kos penginapan, tiket penerbangan, makan minum, serta perbelanjaan semasa berada di Masya’ir Haram.

Ketua Delegasi Tetamu Haji Raja Salman, Datuk Wira Ahmad Tajuddin Idris, menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang secara konsisten menerima jemputan berprestij ini pada setiap tahun.

Bagaimana Rakyat Malaysia Terpilih?

Menurut beliau, pemilihan jemaah haji Malaysia dilaksanakan dengan kerjasama Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, yang mana ia dinilai berdasarkan sumbangan individu tersebut terhadap Islam, dakwah, masyarakat dan negara.

Rombongan jemaah yang turut disertai oleh Mursyid Delegasi Tetamu Haji Raja Salman, Dr Fadlan Mohd Othman, dijangka berada di Tanah Suci selama lebih kurang 14 hari, bermula dari 19 Mei hingga 2 Jun.

“Alhamdulillah pada malam ini kita akan berangkat ke Jeddah dan terus masuk Mekah, lepas habis tunaikan haji kita ke Madinah sekejap sebelum pulang tanah air,” jelas Datuk Wira Ahmad Tajuddin ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji Tetamu Raja Salman di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pernah 60 Peserta Dari Malaysia

Memetik laporan itu lagi, walaupun jumlah penyertaan pada tahun ini hampir sama seperti tahun sebelumnya iaitu seramai 21 orang, Datuk Wira Ahmad Tajuddin menaruh harapan agar kuota peserta bagi Malaysia dapat ditingkatkan pada masa akan datang. Ini kerana negara pernah menerima tajaan sehingga 60 orang peserta pada suatu ketika dahulu.

Beliau turut mendoakan kemurahan hati Raja Salman untuk terus memberi peluang kepada lebih ramai individu yang berjasa di Malaysia.

Antara delegasi terkemuka yang terpilih pada tahun ini ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim. Beliau yang menunaikan ibadah haji bersama isterinya menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan tertinggi kepada kerajaan Arab Saudi, terutamanya Raja Salman.

Prof Dr Mohd Shafry menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu cerminan hubungan diplomatik yang sangat erat di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Beliau turut berharap agar hubungan kukuh ini akan terus memangkin kerjasama dalam sektor pendidikan antara kedua-dua buah negara, selari dengan komitmen UTM yang sentiasa menyantuni mahasiswa dari Arab Saudi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi tersebut.

Sumber