Kemunculan kempen #BoikotPagiSore dari warga Malaysia yang berlegar di media sosial baru-baru ini turut menjadi bualan hangat di negara seberang.

Kempen ini dibuat atas dasar ketidak puasan hati terhadap tuduhan melulu yang dilontarkan oleh sebuah restoran popular di Jakarta terhadap pelanggan dari Malaysia yang akhirnya diakhiri dengan permohonan maaf semata-mata.

Bagaimanapun, wujud hantaran oleh segelintir netizen di sana yang yakin “Pagi Sore Tak Akan Bankrap”. Kenyataan ini mungkin kedengaran seperti satu cabaran terbuka.

pagi
Sumber Gambar: Pagisore.id

Menurut individu terbabit, restoran Pagi Sore sudah bertapak sejak tahun 1973 lagi di samping mendakwa sepanjang perniagaan itu dijalan lebih 90% warga tempatan yang menjadi pelanggan dan bakinya barulah rakyat Malaysia yang melancong ke sana

Namun, realitinya di media sosial, sebahagian Indonesia sendiri mula menyuarakan kebimbangan. Mereka menyedari satu fakta yang tidak boleh disangkal solidariti dan impak boikot rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Sebagai hujahnya, seorang warga Indonesia yang pernah datang berkunjung ke Malaysia mendakwa sudah lihat sendiri betapa besar impak boikot yang dilakukan oleh rakyat tempatan dan ia mampu membuatkan sesebuah bisnes terus ‘bungkus’.

“Jangan cabar prinsip rakyat Malaysia. Sekali mereka boikot, mereka pasti takkan datang lagi.”

Warganet Indonesia lain yang lebih berfikiran rasional turut berpendapat mungkin ada benarnya Pagi Sore tidak akan terkesan sehingga bankrap namun imej dan integritinya akan mulai meleset di kalangan pelanggan di masa kelak.

Selain itu, mereka juga percaya cawangan yang sering dipenuhi oleh rakyat Malaysia selama ini bakal melihat perubahan yang ketara termasuklah penyusutan keuntungan yang besar dan lebih teruk lagi menjerumus ke penutupan kerana tidak dapat menampung kos operasi lagi.

Rentetan daripada itu, menelusuri laman media sosial, sebahagian pemandu pelancong di sana sudah mulai menerima mesej dari rakyat Malaysia yang mana tidak mahu pergi mengunjungi atau membuang nama restoran dari itenari selepas ini.

Tuntasnya, gelombang boikot ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak berkompromi soal maruah dan prinsip, terutamanya apabila membabitkan keadilan sebagai pengguna.

Restoran tersebut mungkin tidak bankrap hari ini atau esok, namun kehilangan pasaran pelancong Malaysia pastinya akan meninggalkan parut ekonomi jangka panjang yang tidak boleh dipadam dengan sekadar permohonan maaf.

Perubahan jadual perjalanan oleh pemandu pelancong di sana sudah cukup menjadi bukti nyata apabila rakyat Malaysia bersatu atas satu prinsip, tindakan mereka sentiasa bercakap lebih lantang daripada sekadar kata-kata.