Pengalaman percutian yang sepatutnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi situasi yang menjejaskan reputasi apabila wujudnya tuduhan tidak berasas.
Baru-baru ini, sekumpulan pelancong Malaysia berdepan dengan insiden yang amat mengecewakan di Jakarta apabila mereka didakwa dan ditularkan kerana kononnya meninggalkan sebuah restoran Nasi Padang yang popular tanpa menjelaskan bayaran.
Reaksi balas yang timbul dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap tuduhan tanpa usul periksa ini amat difahami, sehingga mencetuskan gesaan boikot terhadap restoran berkenaan.
Boleh lihat beberapa tangkap layar memperlihatkan hantaran rakyat Malaysia yang didakwa melancarkan kempen boikot terhadap restoran berkenaan beserta dengan #Boikotpagisore.



Walau bagaimanapun, krisis ini telah membuka satu ruang pemasaran yang unik.
Tindakan restoran tersebut yang terus memviralkan tanpa usul periksa mencetuskan kemarahan netizen Malaysia. Ramai yang hilang selera dan berikrar untuk memboikot Pagi Sore kerana enggan menyokong perniagaan yang mudah memfitnah pelanggan.
Menariknya, para pemilik kedai makan dan restoran Padang lain di sekitar Indonesia menjadikan krisis ini sebagai strategi pemasaran percuma.
Mereka mula membanjiri platform media sosial dan ruang komen, mempromosikan kedai masing-masing dengan jaminan layanan mesra, servis tiada tuduhan melulu, dan harga yang berpatutan khas buat “tamu dari Malaysia”. Satu taktik promosi hijack yang sangat efektif!
Seorang pemilik restoran di Indonesia langsung mengajak warga Malaysia yang bertandang ke sana untuk mencuba kedainya yang menghidangkan sajian masakan Minang dan Bumbu dari Padang.

Selain itu, terdapat sebuah komen menerusi akaun media sosial sebuah restoran lain yang turut mempromosikan lauk-pauk tradisional yang boleh dinikmati jika berada di sekitar Jakarta.
Tidak sekadar itu, netizen lokal dari seberang juga tidak lokek berkongsi lokasi-lokasi restoran yang sedap dan mampu milik untuk memberi pengalaman sebenar merasai juadah lokal sebenar.
Sebagai contoh, antara yang disarankan termasuklah Simpang Raya, Sederhana, Natrabu, Bopet mini benhil, Padang Pariaman dan Garuda.