Taikun terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah memperluaskan portfolio hartanahnya melalui pengambilalihan pegangan saham yang besar dalam Eco World Development Group Bhd dan syarikat berkaitannya.
Melalui urus niaga ini, beliau kini menguasai 30.1% saham dalam EcoWorld serta 33.28% pegangan dalam EWI Capital Bhd, petik The Edge Malaysia.
Walaupun butiran terperinci urus niaga ini tidak didedahkan, gabungan pegangan saham dalam kedua-dua syarikat tersebut dianggarkan bernilai lebih daripada RM2 bilion, berdasarkan harga penutup pasaran pada 15 Mei.
Pemindahan saham secara tidak langsung ini melibatkan bekas timbalan pengerusi EcoWorld, Datuk Leong Kok Wah, yang telah memindahkan kesemua sahamnya di dalam syarikat persendirian, Syabas Tropikal Sdn Bhd kepada Tan Sri Syed Mokhtar pada 15 Mei.
Syabas Tropikal memiliki 100% pegangan dalam Sinarmas Harta Sdn Bhd, yang secara langsung memegang saham-saham dalam EcoWorld.
Melalui struktur syarikat ini, Sinarmas dan syarikat pegangan EcoWorld, iaitu Eco World Capital (International) Sdn Bhd, memegang saham langsung dalam EWI Capital, lantas menamatkan kedudukan Datuk Leong sebagai pemegang saham utama syarikat itu.
Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama yang baharu.
“Kami mengalu-alukan penyertaan Tan Sri Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama baharu EcoWorld, dan menyasarkan untuk bekerjasama dengan beliau bagi memacu EcoWorld ke tahap yang lebih cemerlang pada tahun-tahun akan datang,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Leong atas sokongan teguhnya sebagai pemegang saham selama tempoh 13 tahun.
Dari sudut strategi perniagaan, langkah ini dilihat melengkapkan lagi empayar hartanah Tan Sri Syed Mokhtar.
Syarikat hartanah utamanya, Tradewinds Corporation Bhd, pada masa ini rancak melabur di dalam bidang hartanah komersial serta pengurusan rantaian hotel dan tempat peranginan.
Pada masa yang sama, pengambilalihan ini berlaku sewaktu beliau dilaporkan sedang merancang tawaran awam permulaan (IPO) bagi syarikat pemaju bersama di Australia, iaitu WM Senibong Bhd, yang dijangka berpotensi menjana dana sehingga RM500 juta.
Potensi syarikat-syarikat di bawah EcoWorld ini sememangnya besar. EcoWorld pada ketika ini memiliki lebih daripada 12,000 ekar tanah yang berpotensi dibangunkan dengan nilai mencecah RM100 bilion, mencakupi kawasan-kawasan utama di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.
Selain itu, EWI Capital (sebelum ini dikenali sebagai Eco World International Bhd) pula bertindak sebagai peneraju pembangunan hartanah syarikat di pasaran antarabangsa terutamanya di United Kingdom dan Australia.