Sementara sebuah restoran popular di Jakarta telah mendapat kecaman dan boikot besar-besaran, kini restoran Padang lain pula dilihat berjaya mendapat manfaatnya apabila menjadi pilihan alternatif para pelancong Malaysia yang datang ke sana.
Menerusi hantaran terbaharu, pemilik akaun restoran makanan Padang Paya Kumbuah telah menitipkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang datang singgah untuk mencuba juadah di sana di samping memberi sokongan.

Sebagai buktinya, dia melampirkan sebuah video dan gambar yang memperlihatkan segerombolan pelancong Malaysia yang datang memenuhi restoran itu dan menikmati juadah di sana.
Kelihatan raut wajah staf-staf restoran Padang Paya Kumbuah yang senyum kegembiraan melayani pelanggan dari Malaysia pada ketika itu.
“Ditunggu kedatangannya kembali,” di akhir mesej.
Perkongsian restoran padang ini sudah semestinya mendapat perhatian rakyat Malaysia di media sosial dan ramai melihat inisiatif pihak restoran tersebut berjaya mengambil peluang keemasan apabila pesaingnya menghadapi tentangan hebat.
Netizen Malaysia malah menyambut kehadiran mereka dengan tangan terbuka di samping sudi memberi sokongan kepada mereka dengan datang mengunjungi ke sana di masa kelak.

Sementara yang pernah mencubanya, mereka memberi ulasan dengan mengatakan restoran Padang Paya Kumbuah sememangnya lebih sedap, mampu milik dan suasana yang kondusif.
Dalam pada itu, ada yang turut menitipkan pesanan kepada pihak restoran untuk menjaga kualiti dan integriti agar tetap menjadi pilihan utama selepas ini.
Tidak kurang aja, seorang netizen berseloroh adakah perlu menyimpan resit selamat berbulan kerana takut dituduh tidak bayar pula seperti kes yang tular di restoran pesaing.
Kesimpulannya, dalam dunia perniagaan, rezeki yang ditendang oleh satu pihak akan sentiasa ditatang penuh syukur oleh pihak yang lain.
Padang Paya Kumbuah membuktikan bahawa layanan kelas pertama dan rasa hormat adalah resepi sebenar untuk menambat hati rakyat Malaysia, bukan sekadar hidangan yang sedap.
Pesanan ringkas buat rakyat Malaysia, teruskan menyokong perniagaan yang tahu menghargai anda. Dan ya, pastikan resit sentiasa tersimpan rapi dalam dompet, manalah tahu ada pihak yang tiba-tiba ‘amnesia’ lagi selepas ini.