Dalam satu ucapan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) pada hari Selasa, 19 Mei 2026, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, telah mengangkat slogan nasional Malaysia — ‘Malaysia Boleh!’ — sebagai simbol inspirasi buat masyarakat antarabangsa.

Beliau menyeru agar dunia melakukan peralihan paradigma yang besar ke arah mencapai kedaulatan dan ekuiti kesihatan sejagat.

Inspirasi dari Semangat Malaysia
Gegarkan WHA79: Ketua Pengarah WHO Angkat Slogan 'Malaysia Boleh', Seru Dunia Contohi Semangat Negara Kita
Sumber Gambar: WHO

Menerusi video yang dikongsikan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr. Tedros menceritakan pengalaman lawatannya ke Malaysia baru-baru ini, di mana beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia.

Melalui interaksi tersebut, beliau mendapati slogan ‘Malaysia Boleh’ — yang diterjemahkannya sebagai ‘Malaysia Can’ — merupakan satu manifestasi kekuatan minda yang diperlukan oleh dunia ketika ini.

Menurut beliau, semangat ini membuktikan bahawa setiap negara mampu melakukan perubahan dan tidak mustahil untuk mencapai kedaulatan kesihatan

Kedaulatan dan Ekuiti sebagai Hak Asasi

Dalam ucapannya, Dr. Tedros menegaskan bahawa dunia kini berada di ‘persimpangan jalan’ yang sangat kritikal.

Beliau menyatakan bahawa walaupun persahabatan dan solidariti antara negara tetap penting, tiada negara yang mahu terus bergantung kepada pihak lain buat selama-lamanya.

“Setiap negara mahukan ekuiti, setiap negara mahukan kedaulatan,” kata beliau, sambil menekankan bahawa inilah masanya untuk mengambil jalan yang menuju kepada keadilan sistem kesihatan.

Beliau juga mengingatkan para delegasi tentang matlamat asal pengasas WHO 78 tahun lalu, iaitu untuk memastikan taraf kesihatan tertinggi yang boleh dicapai adalah hak bagi semua orang, dan bukannya kemewahan bagi segelintir pihak sahaja.

Komitmen WHO dan Seruan Perubahan
Adakah 'Hantavirus' Bakal Jadi Pandemik Baharu? Ini Penjelasan WHO
Sumber Gambar: AFP

Dr. Tedros memberi jaminan bahawa WHO akan berjalan seiringan dengan setiap negara dalam menempuh jalan menuju kedaulatan dan solidariti ini.

Beliau memberikan contoh kepimpinan yang telah menunjukkan bahawa peralihan paradigma bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan penuh optimis, menegaskan bahawa perubahan besar dalam sistem kesihatan global boleh berlaku jika semua negara mempunyai keyakinan yang sama.

Dengan memetik kembali semangat ‘Malaysia Boleh’, beliau merumuskan — “Saya rasa semua negara boleh. Dan itulah yang Presiden Mahamma tunjukkan kepada kita dalam contoh-contoh beliau bahawa perubahan itu ‘boleh’ dicapai anjakan paradigma. Jadi boleh, kita boleh. Terima kasih”.