Isu etika dalam pengiklanan kembali menjadi perdebatan hangat berikutan tularnya satu dakwaan mengenai seorang peniaga yang membatalkan tawaran makan percuma kepada sebuah keluarga kurang berkemampuan.
Hal ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna Threads yang berjaya membongkar taktik licik seorang peniaga yang didakwa melakukan hebahan tawaran makan secara percuma di restorannya buat keluarga yang benar-benar dalam kesusahan namun ia sebenarnya adalah taktik pemasaran sahaja.
Jadi, datanglah seorang wanita yang menunjukkan hasrat mahu menerima tawaran untuk makan secara percuma di restoran terbabit.
Namun, peniaga atau individu di sebalik bisnes itu pula menolak mentah-mentah wanita dengan anak enam orang ekoran didakwa tidak layak kerana keluarga terlalu besar untuk ditanggung.
“Tapi kak beragak la sampai nak heret 6 orang anak datang makan percuma? Kak tak reti malu ke?,” ujar peniaga kepada wanita tidak bernasib baik itu di dalam satu tangkap layar yang dikongsikan.

Tidak cukup sekadar itu, dia malah menghina dan merendahkan dengan keluarga tidak berkemampuan itu sebagai pemalas dan selalu menagih simpati dari orang lain.
Yang lebih mengejutkan, dakwanya lagi bahawa selama ini di platform X sudah sering kali dilakukan taktik promosi sedemikian dan hanya menerima sokongan moral dan doa dari orang ramai.
Tetapi kali ini dia terkejut apabila menerima benar-benar keluarga yang daif untuk dibantu dan mendakwa ia sekadar gimik marketing untuk meraih perhatian orang ramai dan bukanlah mahu melakukan amal jariah yang dinyatakan.
“Selama ni saya buat posting macam tu sejak dari Twitter lagi, tak pernah ada yang datang tuntut pun. Malah, ramai hanya mendoakan sahaja,” tulisnya.
Oleh itu, orang ramai mulai mengecam akan sikap tiada empati dan menganggap ia sebagai taktik pemasaran murahan yang ditunjukkan oleh peniaga terbabit.
“Perkara ini sungguh mengecewakan. Baru kini saya menyedari bahawa sememangnya wujud individu yang mengambil kesempatan mempergunakan kebajikan semata-mata untuk kelihatan pemurah, walhal niat sebenarnya tidak ikhlas.
“Saya berharap perniagaan yang dijalankan dengan cara begini akan menerima akibatnya. Tambahan pula, cara beliau memberikan maklum balas sangat angkuh dan tidak profesional,” ujar seorang pengguna Threads.
“Noh, kesiannya akak tu. Kata nak buat amal jariah, paling kurangkan nyatakan la syarat limit yg kau mampu belanja. Pastu takyah la twist kata yg dtg mintak tu org mampu, kan dah kantoi situ selama ni marketing semata-mata,” ujar dalam kecewa seorang pengguna wanita.
“Lain macam ek bodoh orang sekarang ni. Dia yang offer lepas tu marah bila orang nak claim the offer. Atas alasan hanya untuk marketing. Punya la banyak cara marketing di dunia ni, cara tu juga yang kau buat,” tegas seorang lagi.
Dalam pada itu, netizen sempat melihat latar belakang wanita yang berhasrat mendapat tawaran tersebut, realitinya dia sangat tekun untuk cuba menjual makanan dan barang demi kelangsungan hidup.
Lebih menyayat hati apabila ada yang menyarankan dia untuk bersedekah dengan harapan mendapat balasan rezeki yang tidak diduga oleh Sang Pencipta namun dia mengakui dirinya memang tidak mampu dari segi kewangan namun sanggup bersedekah dari segi masa dan tenaga untuk berkhidmat dengan masyarakat.
Semoga keluarga besar ini bakal dimurahkan rezeki dan sentiasa cekal dalam menempuhi ujian kehidupan yang penuh liku-liku tajam.