Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu insiden yang melibatkan seorang pelancong dari Malaysia di salah sebuah cawangan restoran Pagi Sore di kawasan PIK (Pantai Indah Kapuk), Indonesia.

Isu tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, sehingga ada yang mula mempersoalkan kualiti layanan jenama restoran nasi padang terkenal itu.

Sedari akan kekeliruan yang timbul, pihak pengurusan Pagi Sore Kemang (Hijau) telah tampil mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi menjernihkan keadaan.

Entiti Berbeza, Pengurusan Berasingan

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan, Pagi Sore Kemang (Hijau) meluahkan rasa kesal atas salah faham yang berlaku melibatkan pelancong Malaysia tersebut.

Pihak mereka menegaskan bahawa Pagi Sore Kemang (Hijau) merupakan entiti perniagaan yang berdiri sendiri dan beroperasi secara berasingan daripada cawangan Pagi Sore yang tular itu.

Dalam erti kata lain, walaupun berkongsi nama yang hampir sama, pengurusan bagi ‘Pagi Sore Hijau’ tidak mempunyai kaitan dengan ‘Pagi Sore Merah’ yang terlibat dalam kontroversi di kawasan PIK tersebut.

Komitmen Terhadap Pelancong Luar

Walaupun beroperasi sebagai entiti berasingan, Pagi Sore Kemang (Hijau) menyatakan bahawa mereka tetap menjunjung tinggi standard kualiti, pelayanan, serta keselesaan pelanggan sebagai keutamaan paling atas.

“Kami menghargai setiap masukan daripada pelanggan, termasuk daripada pelancong luar negara, sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk terus berkembang dan meningkatkan kualiti layanan,” menurut kenyataan tersebut.

Terus Berusaha Beri Layanan Terbaik

Pagi Sore Kemang (Hijau) turut memberi jaminan bahawa mereka akan terus berusaha memberikan pengalaman santapan yang menyenangkan buat semua pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

Jadi bagi anda yang merancang untuk ke Jakarta, pastikan anda tahu perbezaan antara kedua-dua entiti ini agar tidak timbul lagi salah faham di masa hadapan.

Sokongan dan maklum balas daripada pelanggan amat dihargai oleh pihak pengurusan bagi memastikan hospitaliti terbaik dapat diberikan kepada semua.