Pihak pengurusan Masjid Damansara Perdana hari ini mengeluarkan peringatan kepada penduduk setempat dan pelawat berhubung isu penyalahgunaan ruang tempat letak kereta di dalam pekarangan masjid.

Menerusi hantaran Threads Ahli Lembaga Tadbir (Wakil Kariah) Masjid Damansara Perdana, Muhammad Faeez Harith berkata meskipun pintu masjid sentiasa terbuka 24 jam untuk tujuan ibadah dan iktikaf, kemudahan tersebut kini dikesan sering disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kemudahan itu didapati telah disalahgunakan menjadi tempat letak kenderaan peribadi bagi mengelakkan bayaran atau kesesakan di kawasan kediaman.

Kawasan Fokus Penguatkuasaan

Pihak masjid memberikan penekanan khusus kepada penghuni di kawasan sekitar termasuk:

1. Flora Damansara

2. D’Cosmos

3. D’Quince

3. D’Vine

4. D’Vervain

5. D’Erica

6. D’Cloverz

Serta kawasan pembangunan yang sewaktu dengannya.

Jejaskan Hak Jemaah Masjid Satu Tindakan Biadap

Pihak pengurusan menegaskan bahawa tindakan meletakkan kenderaan sesuka hati demi kepentingan peribadi adalah satu tindakan yang biadab dan menjejaskan hak jemaah yang ingin hadir menunaikan fardu ain serta aktiviti keagamaan.

“Keterbukaan masjid untuk jemaah berehat dan beribadah tidak seharusnya dijadikan lesen untuk mementingkan diri sendiri dengan menjadikan pekarangan masjid sebagai tempat letak kereta awam,” jelas kenyataan tersebut.

Struktur Denda dan Penalti Baharu

Bagi memastikan kelancaran urusan masjid, skim penalti yang lebih ketat telah diperkenalkan berkuat kuasa serta-merta.

“Jika kereta anda dikunci tayar, denda minimum RM50 akan dikenakan.

“Jika lebih daripada 1 malam anda parkir, kereta anda akan dikunci dan denda RM 200 menanti.

“Jika lebih daripada itu, kami akan menunda kereta anda ke pinggir jalan. Anda perlu bayar kos tunda dan denda RM500. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan pada kereta anda,” tegas beliau.