Dalam keghairahan kita mengejar tuntutan solat terawih berjemaah di masjid, kadangkala ada perkara kecil yang terlepas pandang, terutamanya mengenai etika berpakaian.

Kita sering kali hadir dengan pakaian harian yang mungkin secara tidak sengaja mempunyai corak yang terlalu terang, tulisan yang mencolok mata, atau rekaan yang mampu memecah fokus jemaah lain di belakang.

Menyedari hakikat bahawa ‘khusyuk’ itu adalah nadi dalam ibadah, sebuah masjid baru-baru ini telah mencuri perhatian netizen menerusi satu inisiatif yang cukup matang dan praktikal.

Bukannya menegur dengan nada keras atau menghalang jemaah daripada masuk, pihak pengurusan masjid mengambil pendekatan lebih berhemah dengan menyediakan jaket khas untuk kegunaan jemaah yang memakai pakaian yang boleh mengganggu konsentrasi solat.

“Jika anda rasa baju anda mengganggu solat jemaah di sekeliling, sila pakai jaket solat yang telah disediakan oleh pihak masjid,” pesan AJK Masjid Al Muhajirin Indera Mahkota 5.

Seusai selesai menjalani ibadah, kariah yang meminjam jaket diingatkan untuk meletakkan semula di tempat yang disediakan bagi kemudahan orang ramai dan tersusun rapi.

Tak Perlu Balik Tukar Baju, Masjid Sediakan Jaket Elak Gangguan Visual Dalam Saf Dipuji Ramai
Sumber Gambar: Threads @zhrfsohod/

Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial yang kebetulan mengambil gambar notis tersebut lalu dikongsikan untuk tatapan umum.

Menariknya, rata-rata netizen mendapati langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai satu solusi kreatif, malah ia mencerminkan wajah institusi masjid yang lebih inklusif, prihatin, dan sentiasa memudahkan urusan tetamu Allah.

“Gangguan jemaah secara tidak sengaja. Ini adalah sesuatu yang wajar kita hebahkan lagi”.

“bagusnyaa.. masyaAllah”.

“Ini sesuatu yang bijak”.

“Prihatin betul mereka ni”, demikian komentar positif yang diberikan oleh netizen tempatan terhadap sikap keprihatinan ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan berharap akan menjadi contoh buat lokasi-lokasi yang lain juga.