Fuiyoh! Kalau sebut nama Uncle Roger, mesti ramai yang kenal dengan pelawak YouTube yang popular dengan kritikan pedasnya terhadap resipi nasi goreng Jamie Oliver. Kini,
Uncle Roger berani menyahut cabaran dengan membuka restorannya sendiri yang diberi nama ‘Kawan’, terletak betul-betul di tengah kota yang elit, iaitu Chinatown, London.
Bagi membuktikan sama ada makanan di sini gah seperti popularitinya, seorang YouTuber makanan, Gary dari saluran Gary Eats, telah pergi sendiri untuk merasai pengalaman di restoran ini.
Suasana di dalam Kawan sangat santai dengan alunan muzik yang menenangkan. Walaupun ruang di tingkat bawah agak kecil, staf mereka sangat mesra dan tidak cerewet, malah pelanggan yang datang berdua bebas duduk di meja untuk empat orang.
Hidangan pertama yang sudah tentu wajib dicuba adalah Fried Rice from the village atau Nasi Goreng Kampung yang berharga £16.90 bersamaan RM90.02. Nasi goreng pedas ini disajikan bersama makanan laut seperti udang dan kekapis (*scallop*), sayuran, serta taburan bawang goreng yang rangup.
“Wah, pedas sungguh!” kata Gary sambil mengelap peluh di dahi, tidak menyangka kepedasannya begitu menyengat. “Jamie Oliver, tengok ni. Tiada *chili jam* langsung! Inilah cara yang betul,” selorohnya sambil memuji rasa nasi goreng itu yang sangat mengagumkan dan membuatkan sesiapa sahaja ketagih.
Perjalanan gastronomi Gary diteruskan dengan *Dry Curry Wagyu* berharga £24 (~RM127.84). Kari kelapa kering yang sangat pedas persis kuah Vindaloo ini dihidangkan bersama daging lembu Wagyu yang sangat lembut dan cair di mulut.
Apa yang bijaknya, kepedasan kari ini berjaya diseimbangkan dengan rasa manis daripada mangga jeruk dan tomato di dalamnya. Gary turut mencuba Rumar Wing berharga £15.90 bersamaan dengan RM84.69, iaitu sayap ayam gergasi dengan rasa smoky arang dan disalut sos BBQ yang cukup rasa di man atidak terlalu manis atau hambar. Kemudian, dihidangkan bersama salad mangga yang sangat segar dan menyelerakan.
Tiba masanya untuk pencuci mulut. Di sinilah satu insiden lucu berlaku apabila Gary terpaksa memesan menu yang diberi nama agak nakal.
“Boleh… boleh saya dapatkan happy ending saya sekarang?” tanya Gary kepada pelayan restoran dengan muka yang agak kemerah-merahan menahan malu.
Menu Happy Ending yang dimaksudkan ialah Sizzling Blue Milo yang berharga £8.90 (~RM47.41).
Pencuci mulut ini unik kerana berwarna biru, hasil penggunaan pewarna semula jadi bunga telang yang berasal dari kampung halaman Uncle Roger sendiri.
Rasanya penuh bermentega, berkrim, dan sarat dengan coklat Milo. Semasa Gary sedang merakam, pelanggan di meja sebelah bernama Adrien York datang menyapa.
“Boleh saya rasa sikit?” tegur Adrien.
“Eh, mestilah! Ambil saja,” balas Gary dengan mesra sambil mereka berkongsi pencuci mulut yang sedap itu bersama-sama.
Kesimpulannya, adakah restoran Uncle Roger ini berbaloi? Secara keseluruhan, bil Gary mencecah £81.20 (~RM432.52), termasuk minuman teh dan caj perkhidmatan.
Memang agak keras harganya, tetapi memandangkan lokasinya di kawasan tumpuan pelancong di Chinatown dengan sewa yang tinggi, ia sangat munasabah.
Apatah lagi dengan kualiti makanan, saiz hidangan, dan layanan staf yang cukup berpengetahuan, Gary tanpa ragu-ragu memberikan penarafan 9/10. Nampaknya, Uncle Roger bukan sahaja pandai mengkritik, tetapi dia juga berjaya membuktikan kehebatannya di dapur!
Menariknya, Uncle Roger turut meninggalkan komentar dengan berbesar hati menerima pujian dan rating yang diberikan oleh lelaki British berkenaan.
“Terima kasih kerana datang, kami akan ambil 9/10 fuiyohh,” tulisnya dengan nada jenaka.