Jambatan Batang Lupar 1, yang menghubungkan kawasan Sebuyau dan Maludam, Sarawak kini dibuka kepada lalu lintas dan secara rasminya dinobatkan sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia, petik The Borneo Post.

Jambatan baharu ini mempunyai kepanjangan kira-kira 4.8 kilometer, merampas gelaran yang sebelum ini dipegang oleh Jambatan Sungai Johor yang berukuran 1.7 kilometer panjang.

Sarawak Cipta Sejarah: Jambatan Batang Lupar 1 Kini 'Jambatan Sungai Terpanjang' Di Malaysia
Sumber Gambar: The Borneo Post

Pembinaan infrastruktur mega ini merupakan komponen penting dalam transformasi Rangkaian Jalan Pesisir Pantai dan Program Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road Programme) Sarawak.

Ia bermatlamat untuk mempertingkatkan kesalinghubungan dan akses perjalanan antara kawasan pesisir pantai dengan bandar-bandar utama di negeri tersebut.

Perkhidmatan Feri Ditamatkan

Dengan pelancaran dan pembukaan penuh jambatan ini kepada lalu lintas, perkhidmatan feri tradisional Sebuyau-Triso kini telah dihentikan sepenuhnya.

Ini sekaligus menamatkan kebergantungan selama berdekad-dekad oleh penduduk tempatan serta pengguna jalan raya terhadap perkhidmatan feri tersebut untuk menyeberangi kawasan pesisir pantai.

Projek pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM848.75 juta ini telah bermula secara rasmi pada Mac 2021.

Usaha sama ini berjaya direalisasikan oleh Perbena Emas Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh Pansar Berhad, bersama-sama dengan syarikat China Railway Major Bridge Engineering Group Co Ltd.

Prapelancaran (soft opening) bagi projek bersejarah ini dijadualkan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jambatan Batang Lupar 1 Lancarkan Perjalanan Rakyat Sarawak
Sarawak Cipta Sejarah: Jambatan Batang Lupar 1 Kini 'Jambatan Sungai Terpanjang' Di Malaysia
Sumber Gambar: The Borneo Post

Dalam ucapan penggulungan kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menekankan bahawa kemudahan ini akan melancarkan lagi pergerakan rakyat.

Beliau menyatakan bahawa orang ramai kini tidak perlu lagi membuang masa menunggu giliran menaiki feri, dan menyifatkan pembukaan jambatan ini sebagai sangat tepat pada masanya.

“Dengan adanya jambatan ini, rakyat boleh pulang ke kampung halaman dengan mudah bersempena dengan sambutan Hari Raya Haji dan Hari Gawai Dayak. Tidak ada lagi keperluan untuk menunggu feri,” kata beliau