Situasi penuh kontroversi berlaku di Hospital Normah, Kuching, di mana bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dilaporkan “dibawa lari” tengah malam oleh isterinya, Raghad Kurdi.

Berdasarkan laporan MyNewsHub, kejadian bermula pada pukul 11.56 malam, di mana Raghad membawa keluar Taib dari Hospital Normah tanpa mendapatkan persetujuan daripada pihak hospital.

Baca Juga:

Para doktor telah memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh membahayakan nyawa Taib.

Pihak hospital turut membuat laporan polis selepas mendapati Taib dibawa keluar tanpa kerelaan hospital dan doktor.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa ubat yang dipasang pada Taib turut ditanggalkan secara sukarela oleh Raghad tanpa memberitahu kakitangan di Unit Rawatan Rapi.

Berdasarkan laporan polis, jururawat dan kakitangan hospital menyatakan bahawa Raghad membawa keluar Taib dengan menggunakan kereta Alphard berwarna hitam.

Taib yang masih dalam keadaan lemah, diletakkan di atas kerusi roda dan dibantu oleh pembantu Raghad serta beberapa pengawal peribadinya.

Sarawak Report menyatakan bahawa perbuatan Raghad mungkin ada kaitan dengan perang perubatan harta yang sedang berlaku dalam keluarga Taib.

Keluarga Taib sendiri merupakan keluarga yang terkenal dan mempunyai harta yang besar.

Penafian

Bagaimanapun, Raghad telah menafikan dakwaan yang berlegar di media sosial, lapor Free Malaysia Today.

Beliau turut mendakwa bahawa dia membawa keluar suaminya dari Hospital Normah atas nasihat doktor.

Bercakap menggunakan platform Instagram, dalam satu catatan yang disertakan dengan gambar nota jururawat bertarikh 2 Februari, Raghad menyatakan, “Itu tidak betul. Ini buktinya,” sambil menunjukkan nota yang ditandatangani oleh seorang jururawat.

Walaupun nota tersebut memaparkan tandatangan jururawat, kebanyakan teks di dalamnya tidak dapat dibaca.

Ketua Polis Sarawak, Mancha Ata, sebelum ini mengesahkan menerima laporan polis berkaitan dengan tuntutan tersebut.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri.

Taib, 87, telah berkhidmat tiga penggal sebagai gabenor Sarawak dari 1 Mac 2014, sehingga 26 Jan tahun ini, apabila Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.