Sejak beberapa tahun terakhir ini, dapat dilihat semakin ramai anak muda khususnya pelajar yang sudah memberanikan diri menceburi bidang perniagaan.

Kehadiran platform media sosial sedikit sebanyak memberi akses buat anak-anak muda untuk berniaga serta mempromosikan produk mereka dengan lebih mudah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malah, sudah semakin ramai anak muda yang sudah berjaya melakar nama pada usia muda serta menampung kos pembelajaran di universiti dan juga kehidupan seharian menerusi perniagaan yang diusahakan.

Siapakah Abbas He?

Menerusi temu bual kami bersama Abdul Abbas bin Abdul Karim atau lebih dikenali sebagai Abbas He yang merupakan pengasas kepada produk Vaska.

Menurut Abbas, beliau memaklumkan sudah mulai berniaga sejak dari umur 17 tahun lagi di mana beliau memulakan perniagaan dengan menjual jersi dan seterusnya menjual beg yang diambil daripada pemborong.

Memasuki usia 24 tahun, beliau yang sudah beberapa tahun berpengalaman dalam bidang perniagaan serta berbekalkan semangat anak muda, beliau memulakan jenama beliau sendiri yang dinamakan sebagai Vaska.

Pengenalan jenama ini dibuat selepas berjaya meraih dan mengumpul keuntungan daripada perniagaan menerusi penjualan beg dan dompet untuk lelaki daripada jenama luar.

Walau bagaimanapun, perancangan yang disangka bakal mendapat sambutan berubah segalanya apabila beliau terpaksa mencari modal lain bagi meneruskan perniagaan berikutan model beg pertama yang menelan belanja RM30,000 gagal mendapat penjualan seperti yang diharapkan.

Bangkit semula dengan belajar daripada kesilapan

Mulai belajar daripada kesilapan yang lalu, Vaska seterusnya telah tampil dengan beberapa model beg yang lain dengan lebih bergaya, mampu milik serta praktikal untuk kegunaan kebanyakkan individu di Malaysia.

Menerusi perkongsian Abbas, beliau menggunakan modal simpanan terakhirnya dalam menghasilkan model beg kedua yang menelan belanja sebanyak RM10,000.

Dinamakan sebagai Vaska Crossbody, beg kalis air yang ditawarkan dengan harga serendah RM88 ini berjaya terjual lebih 1,000 unit sejak ditawarkan.

Para pembeli rata-ratanya terdiri daripada anak muda dan juga mereka yang menjalankan servis penghantaran makanan.

Bersesuaian dengan tarikh pelancarannya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana hanya frontliner dan mereka yang menjalankan bisnes penghantaran makanan dibenarkan untuk keluar melakukan tugas.

Beralih kepada menghasilkan produk berasaskan kulit

Meskipun berjaya meraih penjualan, Abbas sedar trend pembelian pada tahun 2023 agak berbeza di mana orang ramai lebih mudah untuk mendapatkan produk dengan harga yang lebih rendah menerusi negara luar yang sekaligus meningkatkan persaingan.

Vaska seterusnya telah memilih untuk mengembangkan jaringan produk dengan memperkenalkan siri ‘leathercraft’ yang membolehkan para pelanggan mendapatkan pelbagai jenis beg dompet mengikut warna, material, jenis kulit beserta engrave yang dihasilkan secara eksklusif.

Tidak memilih untuk mendapatkan pinjaman bank

Lebih 10 tahun menjalankan perniagaan, Abbas akui beliau yang memulakan perniagaan menerusi modal yang kecil masih lagi tidak memilih untuk mendapatkan pinjaman bank sehingga kini.

Berbincang mengenai modal, beliau mendedahkan perlu mengeluarkan wang sebanyak RM30,000 bagi membangunkan jenama serta menghasilkan model beg pertama beliau pada tahun 2019.

Proses mengembangkan perniagaan bagi menghasilkan produk berasaskan kulit pula memerlukan sebanyak RM10,000. Wang ini digunakan bagi tujuan pembelian bahan, alat jahitan, pembelajaran cara menghasilkan produk daripada kulit yang menepati citarasa pengguna, pemasaran dan sebagainya.

Sebab Abbas memilih untuk tidak membuat pinjaman bank

Menurut usahawan yang membuat produk berasaskan kulit ini, beliau memilih untuk tidak membuat pinjaman bank kerana tidak mahu terikat dengan komitmen melibatkan bank dalam mengembangkan perniagaan.

Beliau berpendapat, adalah lebih baik beliau bergerak secara slow and steady di mana beliau hanya menggunakan wang simpanan serta keuntungan daripada perniagaan dalam memajukan perniagaan.

Selain itu, langkah yang dibuat sepanjang 10 tahun perniagaan ini membuatkan beliau tidak perlu risau mengenai bayaran semula sekiranya bisnes beliau terkesan dengan faktor luar seperti pandemik yang mungkin memberi kesan kepada penjualan.

Nasihat buat mereka yang mahu mendapatkan pinjaman

Menurut Abbas, tidak ada salahnya untuk mendapatkan pinjaman sama ada dari bank mahupun daripada badan kerajaan bagi tujuan perniagaan.

Walau bagaimanapun, pinjaman yang dilakukan haruslah bertujuan bagi mengembangkan bisnes dan bukannya menampung kerugian dalam bisnes.

Seseorang peniaga itu haruslah membuat kira-kira terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman bagi mengelakkan daripada terjerumus dengan hutang yang lebih besar.

Pinjaman daripada MARA atau TEKUN dilihat sebagai altenatif yang lebih baik khususnya buat usahawan yang mahu mendapatkan dana dalam saiz yang kecil berbanding pinjaman bank yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, mempunyai data yang cukup adalah amat penting sebelum seseorang usahawan memilih untuk mengembangkan bisnes menerusi wang pinjaman.