Kita sudah pun menjejak ke tahun baharu iaitu 2024 yang mana pasti ramai berazam mahu menjadi lebih baik terutamanya dalam aspek kewangan. Kita pun sedia maklum pengurusan kewangan yang bagus bakal memberi ketenangan fikiran di kemudian hari.
Dalam pada itu, kadang-kala anda pasti pernah merasa seperti tidak mencapai status kewangan yang bagus dek kerana sering membandingkan kehidupan dengan orang lain yang kelihatan hidup lebih mewah dengan materialistik yang dimiliki.
Bersempena kempen Cakna Duit yang berlangsung pada kali ini, kami membawakan seorang figura yang mahir dalam kewangan iaitu Encik Wilson Leong, yang boleh dikenali menerusi saluran YouTube Sembang Finance.
Beliau sedia berkongsi bagaimana mahu mengetahui status kewangan anda sudah berada dalam keadaan yang baik atau sebaliknya dengan lima penunjuk yang dirumuskan olehnya.
Sebagai permulaan, beliau mendedahkan bahawa terdapat kajian yang menjelaskan bahawa kita akan merasa tidak berpuas hati dengan tahap kewangan peribadi sekiranya mempunyai gaji RM40,000 namun dikelilingi dengan orang yang bergaji lebih tinggi.
Perkara sebaliknya pula akan berlaku jika anda dikelilingi dengan individu yang bergaji lebih rendah. Oleh itu, anda boleh mengetahui jika memiliki status kewangan yang baik dengan menyemak lima petunjuk tanda yang dikongsikan.
1. Pekerjaan
Pertama sekali, dengan memiliki pekerjaan atau bisnes yang stabil sudah menjadikan anda seorang yang mempunyai status kewangan baik. Bahkan, anda yang mempunyai gaji sekitar RM1,800 sudah dikira baik berbanding dengan individu yang tidak berkerja di luar sana.
Hal ini kerana berdasarkan statistik yang dikongsikan telah memperlihatkan jumlah penduduk di Malaysia berumur 15 tahun – 64 tahun yang berkerja hanya sekitar 63.498%. Ini bermaksud, jika anda mempunyai sumber pendapatan yang stabil, maka status kewangan anda sudah lebih baik daripada 35% ataupun kira-kira 5.5 juta orang dewasa di Malaysia yang tidak mampu berkerja.
2. Simpanan
Dengan memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang stabil pula, anda secara automatiknya juga mampu berjimat untuk membuat simpanan.
Jika anda mempunyai sekurang-kurangnya simpanan wang kecemasan selama enam bulan, maka status kewangan anda berada jauh di hadapan berbanding orang lain.
Namun begitu, anda tidak perlu khuatir jika hanya memiliki simpanan sebanyak RM1,000 kerana sudah dikira lebih baik daripada separuh individu di negara ini kerana menurut laporan EPF sekitar separuh rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sebanyak itu untuk kegunaan kecemasan.
3. Pelaburan
Seterusnya, dengan melakukan pelaburan untuk masa hadapan juga menunjukkan bahawa anda sudah memiliki status kewangan yang baik berbanding yang lain. Tidak perlu angka yang besar, cukup sebanyak RM100 secara konsisten pada setiap bulan sudah mencukupi.
Pelaburan yang boleh dibuat menerusi kaedah dollar-cost averaging yang mana melabur dalam jumlah kecil dalam tempoh yang ditetapkan seperti membeli emas dalam jumlah kecil atau di indeks S&P 500 iaitu membeli saham di dalam 500 syarikat terbesar di Amerika Syarikat seperti Apple Inc, Microsoft Corp dan Amazon.com.
Anda bakal menuai pulangan dalam jangka masa panjang iaitu menerusi compound interest yang mana angkanya akan menjadi lebih besar dalam beberapa tahun mendatang. Ini akan membuatkan anda menjadi jutawan lambat laun kelak dengan pelaburan yang dibuat secara konsisten.
4. Rumah
Antara kelayakan status kewangan yang lebih baik daripada orang biasa adalah memiliki rumah di bawah nama sendiri dan boleh membayar pinjaman gadai janji atau mortgage loan pada setiap bulan.
Anda boleh menganggap bayaran rumah ini sebagai satu tabung simpanan peribadi kerana dalam masa berbelas tahun selepas itu bakal menjadi pemilik mutlak ke atas hartanah itu. Malah, harga hartanah juga bakal menjadi berlipat kali ganda sekaligus memberi pulangan yang lumayan jika mahu dijual kelak.
5. Hutang
Akhir sekali, anda perlu memiliki hutang yang rendah untuk mencapai status kewangan yang kukuh. Hal ini kerana statastik memperlihatkan peningkatan angka jumlah hutang kad kredit sentiasa meningkat ke 21% dan pinjaman sebanyak 9% pada setiap tahun di dalam kalangan pengguna sejak 2006.
Ini bermakna jika anda mampu membayar bil atau komitmen pada setiap bulan tanpa perlu berhutang menunjukkan anda sudah berada jauh lebih baik berbanding orang lain.
Dengan mengetahui sedikit sebanyak mengenai tanda status kewangan anda sudah berada di tahap yang bagus, kini anda bolehlah menarik nafas lega kerana tidak payah membandingkan dengan orang lain yang mungkin hanya tampak kaya di luaran semata-mata.