Muhammad Ramadhan Abdul Hamid, 30, tampil memperbetulkan salah faham berhubung dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau terpaksa menunggu selama 13 tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik di kediamannya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling.
Menurut beliau, kekeliruan tersebut timbul apabila sesetengah pihak salah mentafsir hantaran videonya ketika bertemu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 17 Mei yang lalu.
Tempoh Menetap, Bukan Tempoh Permohonan
Muhammad Ramadhan menjelaskan bahawa tempoh 13 tahun yang dinyatakan merujuk kepada jangka masa beliau menetap di kawasan tersebut tanpa kemudahan elektrik, bukannya tempoh permohonan yang telah dikemukakan kepada pihak berkuasa, petik Harian Metro.
“Saya hanya memohon sambungan bekalan elektrik secara rasmi pada Oktober tahun lalu. Video yang saya muat naik baru-baru ini adalah untuk menzahirkan rasa syukur kerana isu berkenaan akhirnya mendapat perhatian setelah sekian lama saya sekeluarga hidup dalam serba kekurangan,” katanya.

Status Permohonan Hak Milik Tanah
Ramadhan yang tinggal bersama isterinya dan anak lelaki mereka berusia lima tahun berkata, sebelum ini dia tinggal bersama ibu bapanya kira-kira 100 meter dari rumah yang didiaminya sekarang.
Menurutnya, rumah kayu yang kini didiami ibu bapanya itu mula diduduki sejak 2014 sebelum dia berpindah ke rumah baharu pada tahun lalu.
Pada masa sama keluarganya turut memohon hak milik tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut pada Julai 2015, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
“Selain rumah ibu bapa dan adik perempuan saya, rumah sepupu yang terletak berhampiran juga belum mempunyai bekalan elektrik.
“Keempat-empat rumah termasuk rumah saya bergantung kepada panel solar yang disambungkan kepada bateri lori untuk mendapatkan bekalan elektrik,” katanya sambil menambah tanah yang diduduki mereka adalah milik kerajaan.
Bergantung Kepada Panel Solar dan Air Bukit

Beliau yang bekerja sebagai mekanik motosikal dengan pendapatan di bawah RM1,000 sebulan memaklumkan, sebelum ini keluarganya hanya bergantung kepada panel solar yang disambungkan ke bateri lori. Bekalan tenaga yang terhad itu hanya digunakan untuk tujuan pencahayaan dan mengecas telefon bimbit sahaja.
Selain ketiadaan elektrik, beliau turut berkongsi bahawa mereka tidak mempunyai bekalan air paip dan perlu menggunakan air bukit untuk kegunaan harian.
Penghargaan Kepada Sultan Pahang dan TNB
Mengulas lanjut mengenai detik pertemuannya dengan Sultan Pahang, beliau menyatakan rasa terharu apabila baginda sudi berhenti dan mendengar masalah yang dihadapi walaupun beliau bertindak ‘menahan’ konvoi diraja tersebut.
“Saya amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Pahang serta berterima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak pantas. Kira-kira sejam selepas pertemuan itu, pihak TNB terus menghubungi saya dan memulakan kerja-kerja pemasangan tiang elektrik di kawasan rumah kami,” tambahnya lagi.
Jangan Salah Tafsir Video
Beliau berharap penjelasan ini dapat menghentikan spekulasi negatif dan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial yang boleh menjejaskan imej mana-mana pihak.
“Saya merayu orang ramai supaya tidak salah tafsir video saya kerana saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.
“Pada hari saya bertemu Tuanku ketika baginda dalam perjalanan ke Kampung Pagi, saya mula menunggu di tepi jalan jam 6.30 pagi sebelum konvoi melalui kawasan itu sekitar jam 10 pagi.
“Pada mulanya saya fikir Tuanku akan marah kerana saya menahan konvoi, namun baginda sudi mendengar penjelasan saya dan memberi jaminan akan membantu selepas saya menyerahkan surat berkaitan masalah dihadapi,” katanya.
Ramadhan berkata, dia turut menghadiahkan sebotol madu kelulut yang dikutip sendiri kepada baginda.
Kongsinya lagi, kira-kira sejam selepas konvoi diraja beredar, kakitangan TNB menghubunginya bagi mendapatkan beberapa maklumat sebelum datang ke rumahnya dan memulakan kerja pemasangan tiang elektrik.