Kerja makan gaji, terutamanya di sektor perkhidmatan atau pentadbiran, mungkin nampak seperti rutin biasa bagi sesetengah orang.

Namun, ada kalanya tugas harian ini membawa pengalaman yang cukup luar biasa contohnya apabila kita ditugaskan menguruskan fail atau dokumen milik individu berprofil tinggi, orang kenamaan (VIP), mahupun kerabat diraja.

Perasaan teruja dan bangga itu sememangnya normal. Siapa yang tidak gembira dapat berkhidmat secara langsung untuk figura penting, bukan?

Tetapi, di era di mana semuanya mahu dijadikan konten di hujung jari, ada satu garisan halus yang kita sering terlupa kepada Kerahsiaan dan Privasi Data.

Tular tangkap layar di media sosial

Baru-baru ini, media sosial kecoh dengan penularan satu tangkap layar yang memaparkan tindakan seorang pekerja berkongsi momen keterujaannya menguruskan butiran peribadi Sultan Pahang.

Merujuk kepada hantaran yang tular, pekerja tersebut meluahkan rasa bangga yang amat sangat kerana berpeluang menaip nama baginda di dalam sistem perbankan/carian.

Di dalam gambar tersebut, turut kelihatan paparan skrin sistem carian dan juga kad pengenalan (MyKad) baginda.

'Seriuslah Tayang IC Sultan?' – Hantaran Kerani Teruja Buat Kerja Tular, Netizen Mula Ungkit Kes Khairul Aming
Sumber Gambar: Threads

Walaupun hantaran asal dipercayai telah dipadamkan oleh pemilik akaun tidak lama kemudian, kita semua sedia maklum tentang satu peraturan emas internet tangan netizen yang pantas membuat tangkap layar bermakna “apa yang masuk ke internet, akan kekal di internet”.

Reaksi Netizen: Bimbang, Kecewa & Ingatkan Kes Terdahulu

Tindakan memuat naik gambar tersebut dengan pantas menerima pelbagai maklum balas dan teguran hangat daripada pengguna media sosial. Rata-rata netizen menyifatkan perbuatan itu sebagai satu tindakan yang kurang matang dan mencabul hak privasi individu, apatah lagi melibatkan seorang Raja / Sultan.

Antara poin utama yang dibangkitkan oleh netizen termasuklah:

Isu Alamat yang Tidak Ditutup: Walaupun nombor kad pengenalan cuba ditutup menggunakan pembaris, netizen menegur bahawa butiran sensitif lain seperti alamat penuh masih boleh dilihat dengan jelas.

Risiko Tindakan Tatatertib: Ramai membangkitkan bahawa tindakan mendedahkan identiti atau maklumat peribadi di media sosial semata-mata demi kandungan (*content*) atau populariti boleh mengundang tindakan tatatertib daripada pihak majikan.

Mengimbau Kes Tular Sebelum Ini: Netizen turut mengaitkan insiden ini dengan kes pendedahan maklumat NRIC pempengaruh terkenal, Khairul Aming, yang pernah tular. Ramai yang meluahkan rasa musykil dan kecewa kerana masih ada individu yang tidak mengambil iktibar daripada kes-kes lalu.

Tindakan membawa padah

Jika dibaca pada kapsyen pekerja tersebut, niatnya jelas hanyalah untuk berkongsi rasa bangga dan seronok dengan tugasannya. Perasaan itu sangat difahami.

Namun, tindakan mendedahkan dokumen rasmi serta paparan sistem dalaman pejabat kepada umum adalah satu kesilapan besar. Walaupun niat di hati sekadar ingin meluahkan rasa gembira, perbuatan memuat naik dokumen pengenalan diri individu lain tanpa mengira status di platform awam tetap mengikut risiko undang-undang dan etika kerja.

Integriti Pekerja dan Amanah Privasi

Di setiap tempat kerja, terutamanya yang melibatkan pengendalian maklumat orang awam, terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) atau akta kerahsiaan yang mengikat pekerja.

Tidak kira apa jawatan kita sama ada pengarah, pegawai, mahupun kerani am tugas menjaga kerahsiaan data adalah satu amanah yang sangat besar. Membawa keluar butiran kerja, nama pelanggan, atau dokumen rasmi ke ruang media sosial peribadi bukanlah satu amalan yang profesional.

Boleh berbangga dengan kerjaya kita, walau apa pun jawatan yang disandang. Mencari rezeki yang halal dan berasa seronok dengan tugasan harian adalah satu nikmat. Namun, biarlah kebanggaan itu diraikan dengan cara yang selamat, profesional, dan beretika.

Kadangkala, memori manis di tempat kerja cukup sekadar disimpan di dalam ingatan, tidak perlu diabadikan di media sosial.